Syukur! Itu yang terlepas di dalam minda Hazry sebaik sekotak pensil warna baharu buat Hana Maisarah berada di dalam tangan kanannya. Ada hikmah-NYA tinggal serumah dengan Halim. Rupanya cinta hati Halim, Nora adalah penyelia di JS Quickmart, sebuah kedai serbaneka di Jalan Klang Lama. Dialah yang menolong tadi. Membuka semula pintu kedai yang sudah tamat waktu operasi hanya untuk seorang pelanggan bernama Hazry Mikail.
“Minum air ni, Hazry. Kejap lagi kita dah kena masuk tidur. Pukul 3.30 pagi ni…” kata Halim sambil meletakkan segelas air masak di meja hadapan Hazry.
“Terima kasih, Lim. Dapat duit claim nanti, aku belanja kau dan Nora makan ya?” janji Hazry.
“Kalau kau yang belanja, aku tak nak. Tapi kalau Hani Mariya… Memang kebaboom!” Baru hari ini dia berpeluang melihat Hani Mariya di depan mata. Walaupun tidak bersolek atau berhias, wanita itu memang cantik untuk dipandang.
“Engkau sebut lagi perkataan tu ya…” tegur Hazry kegeraman. “Kau dah lupa, Lim? Dia tu isteri orang. Berapa kali aku nak cakap?”
Halim hanya tersengih. “Dia sakit apa, Hazry? Lain macam aje aku tengok…”
“Puan HM sihat. Dia terkejut sikit aje,” jawab Hazry. Dia tidak lupa isi kandungan perjanjian yang dikepilkan bersama surat setuju terima jawatan yang ditandatanganinya sebelum mula bekerja. Hal Hani Mariya adalah hal sulit.
“Hmm… Macam tak percaya pulak,” balas Halim.
“Eh! Dahlah… aku nak tidur ni. Takut esok tak jaga, haru hidup aku…” sahut Hazry tidak mahu berbual panjang. Rahsia Hani Mariya mesti dijaga rapi. Bingkas dia bangun. “Baby!” panggilnya pada kucing yang kian manja. Terkedek-kedek kucing itu berjalan mengikut Hazry masuk ke bilik tidur. Dia ada tempat khas untuk lena setiap malam, di hujung kaki ‘sayang’nya.
 
ESOKNYA, wajah terdesak Hani Mariya menyambut kehadiran Hazry. Bila beg plastik berisi sekotak pensil warna diserahkan, reaksi Hani Mariya terus berubah menjadi ceria. Berlarian dia masuk ke dalam rumah sambil menjerit memanggil anaknya.
Hazry yang memandang merasa lega.
“Hana ucapkan terima kasih pada awak, Hazry,” ucap Hani Mariya pada Hazry sebaik kereta bergerak keluar dari perkarangan rumah agam Haji Umar.
Hazry yang memandu hanya mengangguk dengan senyuman sekilas.
Hani Mariya terus menyandar dengan tenang. Dia masih keletihan kerana tidak cukup rehat. Malam tadi, dia tidak mampu tidur kerana risau memikirkan Hazry berjaya mencarikan pensil warna buat Hana Maisarah atau tidak. Dia hanya duduk termenung di ruang tamu. Tidak tahu apa yang patut dibuat. Hendak dihubungi Hazry, dia tidak ada nombor telefon bimbit drivernya. Hendak ditanya pada Haji Zaini, hari menginjak pagi dan tentunya akan menganggu lena orang tua itu.
“Mummy, Hana suka Uncle Hazry.”
Bisikan Hana Maisarah di telinga buat Hani Mariya tersenyum. “Memang patut Hana suka Uncle Hazry. Dia tolong mummy carikan pensil warna untuk Hana. Tengok mata dia merah sebab tak cukup tidur. Kesian dia…” sahut Hani Mariya perlahan. Wanita ini mahu anaknya belajar erti menghargai pertolongan orang.
Hazry yang turut mendengar kata-kata itu, hanya menyimpan senyuman kelegaan dalam diam. Ya, matanya memang merah kerana kurang mendapat tidur. Dan mata yang merah itu ditutupnya rapat-rapat semasa dia memegangkan payung buat Hani Mariya di patio tepi galeri. Sengaja Hazry merehatkan mata biarpun dia tidak tidur sebenarnya.
“Saya nak ucapkan terima kasih sebab awak menyelamatkan saya malam tadi,” ucap Hani Mariya tanpa menoleh pada lelaki tinggi lampai di belakangnya.
Hazry hanya membuka mata sesaat. Melihat Hani Mariya tidak memusing tubuh, dia menutup mata semula. “Itu tugas saya, puan…”
“Berapa ringgit saya hutang awak, Hazry?” soal Hani Mariya. “Untuk pensil warna…”
Hazry menggeleng biarpun Hani Mariya tidak memandangnya. “Pensil warna itu tidak perlu dibayar, puan. Hadiah saya buat Hana.”
Berjeda lama Hani Mariya sebelum menyambung bicara, “Malam tadi, saya minta tolong Pak Ni sebenarnya…”
“Pak Ni dah bersara, puan. Saya yang mengambil alih semua tanggungjawab dia sekarang.”
“Awak mesti rasa saya perempuan yang menyusahkan…” kata Hani Mariya. Perlahan suaranya. Cukup-cukup sahaja untuk Hazry mendengar.
“Puan berhak untuk susahkan saya kerana saya dibayar gaji untuk membantu puan sebaik mungkin selain menghantar puan ke mana sahaja,” jawab Hazry. Dia perlu meyakinkan Hani Mariya agar wanita itu tidak menyusahkan pak andaknya lagi.
“Makin Hana besar, makin macam-macam perangai dia…” adu Hani Mariya. “Makin macam-macam juga yang dia minta.”
“Saya sentiasa ada untuk puan…”
“Suami saya pula sakit. Dia lumpuh dan berkerusi roda. Jika tidak, pasti dia yang keluar untuk mencari keperluan anak kami…” kata Hani Mariya. Dia tidak mahu Hazry salah sangka pada suaminya.
“Saya faham, puan.”
“Tak semua orang faham, Hazry,” adu Hani Mariya lagi. Lelah dia dengan apa yang berlaku.
“Jangan risau, puan,” jawab Hazry sambil membuka mata dalam sesaat sekali lagi. Manalah tahu dia boleh melihat wajah anak majikannya. Tetapi, tidak! Hanya belakang tubuh wanita itu sahaja yang dia nampak di depan mata. “Itu semua cukup untuk saya faham dan puan tahu saya faham.”
Hani Mariya meneruskan kerjanya. Bermain dengan warna. Hazry juga begitu. Memegang erat batang payung biarpun matanya tetap tertutup rapat.
Sebenarnya, peristiwa itu buat Hani Mariya tahu dia boleh mempercayai Hazry. Sebagaimana dia mempercayai Haji Zaini, Jehan, Jasni, Mak Som dan Bibik Susanti. Beberapa orang insan yang menjadi tunjang hidupnya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, ibu, pelukis dan pemilik galeri.

TENGAH HARI itu, Hani Mariya mengajak Hazry dan Jehan makan bersama. Dia mahu mengucapkan terima kasih kepada Hazry dan Jehan. Dia mengarahkan Jasni menjaga galeri. Secara kebetulan pula, Haji Umar tidak mahu ke mana-mana. Jadi, Hazry terus membantunya di patio.
“Jehan, awak asyik termenung aje. Kenapa?” soal Hani Mariya yang tenang merendam udangnya di dalam sup steamboat.
Jehan tersenyum tawar lalu segera menggeleng. Keseganan dia. Bimbang bosnya perasan dia merenung Hazry yang sedang terkial-kial menggunakan chopstick.
“Hazry, awak tak pernah makan guna chopstick, ya?” soal Hani Mariya pula.
Hazry menggeleng. Kali pertama dia masuk ke restoran sebegitu rupa. Mewah dan tentunya ada kelas. Makanannya macam-macam. Kena pula menggunakan chopstick. Aduh! Memang merana tapi dia cubakan juga. Jika bukan sekarang, bila lagi.
“Awak boleh guna garpu kalau awak mahu…” kata Hani Mariya. Sudu garpu diletakkan di sebelah mangkuk sup Hazry.
“Err… saya nak cuba guna chopstick ni dulu, puan. Kalau gagal juga, baru saya nak guna sudu garpu. Kalau tak belajar sekarang, sampai bila-bila saya tak pandai. Better late than never…” Tenang saja wajahnya. Tiada riak segan biar ada dua orang wanita jelita yang setia melihat kecanggungannya.
“Jehan, awak ajar Hazry…” arah Hani Mariya.
Jehan tersenyum simpul. Cepat sahaja dia mencapai chopsticknya. “Macam ni…”
Dan Hazry memang anak murid yang terang hati. Seminit dua, dia mula menggunakan alat itu dengan cara yang betul. Semakin lama, dia semakin cekap.
“Awak dah pandai, Hazry!” puji Hani Mariya.
Hazry tersenyum puas. Kini, giliran dia yang senang hati merendam udang seperti yang Hani Mariya lakukan awal tadi.

SELESAI makan, mereka berjalan keluar. Jehan memegangkan makanan yang dibungkus untuk Jasni. Mereka berhenti di tepi untuk melintas jalan ke kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ. 
Vroooommmm!!!
Sepantas kilat sebuah motosikal melepasi mereka lalu meragut beg tangan Jehan. Jehan yang turut tertarik sama terus terpelanting ke tengah jalan.
“Jehannnn!!!” jerit Hani Mariya yang terkejut.
“Hoiii!!!” jerit Hazry pada si penunggang yang sudah menjauh. Merah mukanya menahan marah. Ingin dia mengejar namun jeritan Hani Mariya buat dia berfikir dua kali. Sedetik kemudian, dia pantas mendekati tubuh Jehan di tengah jalan. Wanita itu sudah terbaring kaku. Ada darah di belakang kepalanya. Hazry memandang pula ke arah Hani Mariya. Wanita itu pula sudah menggeletar seluruh tubuh. Saat itu Hazry tahu, bukan sahaja Jehan, Hani Mariya juga sedang bermasalah.
Dengan dibantu beberapa orang pekerja restoran, Jehan dibaringkan di kerusi belakang BMW 7 Series. Hani Mariya pula didudukkan di hadapan. Hazry segera memandu.
Panik! Memang panik! Sudahlah Jehan masih terbaring kaku. Hani Mariya di sebelahnya juga menggigil semacam. Nafasnya mula tersekat-sekat.
“Puan, sabar ya,” pujuk Hazry. Hospital memang dekat. Tetapi jalan teramat sesak. “Tarik nafas panjang-panjang…”
“Je… Je… Jehan…” Suara Hani Mariya tersekat-sekat.
“Puan, jangan risaukan Jehan. Kita selamatkan Jehan sama-sama. Saya ada… Puan pun ada…”
“Al… Lah… ALLAH… hu…” ucap Hani Mariya dalam nafas yang sesak.
Hazry mengerutkan dahi. “Oh! Puan nak saya baca ayat Kursi?”
“Al.. Lah… ALLAH… hu…” ulang Hani Mariya sambil mengangguk. Tangannya kejap memegang lengan Hazry.
Hazry menarik nafas panjang. Dia membaca ayat Kursi sama seperti semalam. Perlahan dalam nada yang cukup mendamaikan. Sebagaimana arwah ibunya selalu melafazkan ketika berzikir. Lega dia kerana Hani Mariya mengingatkannya tentang itu. Dalam hatinya, dia memohon ALLAH mempermudahkan urusan mereka.
ALLAH maha mendengar dan maha mengasihani. Seorang polis trafik yang menunggang motosikal berkuasa tinggi berhenti betul-betul di sisi kenderaan mereka.
“Assalamualaikum, tuan,” ucap Hazry sebaik menurunkan cermin dalam kesesakan jalan raya yang tidak bergerak. “Saya perlu bantuan untuk ke hospital.” Tangannya menunjukkan ke arah belakang.
Pegawai itu menoleh. Dia memandang sekilas pada tubuh Jehan yang terbaring kaku. Darah merah di sana sini. “Ikut saya…” arahnya seraya siren dibunyikan. Laluan diberikan dan Hazry memandu penuh hati-hati mengikut arah mana yang dibawa pegawai polis itu tadi.
Akhirnya mereka tiba di hospital. Jehan terus dimasukkan ke wad kecemasan. Para doktor terus sahaja merawatnya. Jangkaan doktor, Jehan akan selamat. Hazry juga terus memaklumkan hal itu pada Haji Umar dan Jasni. Haji Umar meminta bantuan Haji Zaini menjemput Hani Mariya. Jasni pula segera menghubungi keluarga Jehan.
Selesai menguruskan apa yang perlu, Hazry hanya duduk di ruangan menunggu sambil menemankan Hani Mariya yang masih bersisa kepanikannya.
“Minum, puan,” pujuk Hazry. Sebotol air mineral diunjukkan. “Cik Jehan okey. Puan jangan bimbang…”
“Saya tak membantu awak, kan?” soal Hani Mariya sambil menggeleng. Tentu sahaja dia merasa kesal. Nampaknya dia seperti mengeruhkan keadaan, menyesakkan suasana dan menambah masalah.
Hazry tersenyum memandang wanita itu. Lembut pandangannya. “Puan bantu saya. Puan ingatkan saya, apa yang saya patut buat untuk bantu puan…”
Mereka bertentangan mata. Itu kali yang pertama pada jarak sedekat ini.
‘Subhanallah! Cantiknya mata dia,’ puji Hazry di dalam hati. Namun, pujian itu mati tiba-tiba sebaik Hani Mariya mengalirkan air mata. Setitis demi setitis jatuh ke pipinya yang putih bersih.
Segera Hazry memalingkan muka. “Jangan menangis, puan. Saya ada. ALLAH juga ada. Itu semestinya…” pujuk anak muda ini.
Hani Mariya memaut lengan Hazry. Kepalanya diletakkan di bahu lelaki itu. Dia merasa sangat dilindungi. Sudah lama dia tidak merasainya.
‘Ya ALLAH! Aku dah salah cakap ke?’ soal hati Hazry yang sudah berkerut dahi.

Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! kini telah pun berada di pasaran.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya


Diam tak diam, sudah sebulan Hazry bertugas sebagai pemandu Haji Umar dan Hani Mariya. Jadualnya padat di siang hari malah terkadang hingga ke malam. Hari ini, dia mendapat gajinya yang pertama. Selain membeli hadiah buat Haji Zaini dan Halim yang banyak membantu, Hazry tidak lupa untuk membayar hutang pak ngahnya.
Selepas duit dimasukkan ke akaun pak ngahnya melalui mesin ATM, segera dia menghantar SMS untuk memaklumkan bayarannya pada orang tua itu. Namun, tanpa disangka, SMSnya dibalas dengan panggilan. Panggilan yang tidak sampai dua minit tetapi cukup untuk buat fikirannya serabut berjam-jam lamanya hingga ke tengah malam.
Hanya teguran Halim yang buat Hazry tersedar lalu kembali ke alam nyata. “Apa yang kau fikirkan tu, bro? Dari tadi, sejak balik surau dok termenung macam pungguk rindukan bulan…”
Hazry diam seketika. Perlukah dia bercerita tentang hal ini? Halim baru sahaja dikenalinya. Tapi Halim baik dan suka membantu. “Aku terbayang kisah hidup aku yang macam tak berubah dari dulu…” ucap Hazry perlahan.
“Maksud kau?” Halim mula duduk di kerusi hadapannya.
“Aku ni jadi driver dah lebih 11 tahun, Lim. Tapi, hidup aku tak berubah. Cuma kenderaan aje yang berubah…” kata Hazry bagai mengadu.
Halim tertawa kecil. “Okey apa tu, bro? Baru dapat gaji pertama, kau dah belikan aku kain pelikat benang rapat ni. Cantik…” Kain pelikat berwarna merah bak delima merekah dilurutnya perlahan.
“Ke situ pulak kau ni…”
Halim ketawa lagi. “Kau patut fikir macam ni. Dulu, kau bawa lori setengah tan. Lepas tu kau bawa lori satu tan. Last-last, kau bawa lori 10 tan. Itu kira naik pangkatlah!” Melihat Hazry menggeleng menahan senyuman, Halim menyambung, “Lepas tu, kau bawa teksi Proton Iswara. Naik pangkat lagi, bila kau bawa kereta Perdana Mr. Chong. Sekarang BMW Haji Umar pulak. Tu kira setaraf CED tu…”
“CED?”
Chief executive driver…” jawab Halim.
Hazry menggeleng. “Dari segi itu betullah... Tapi, aku tengah risau. Kerja aku ni tak cukup nak tebus balik tanah arwah ayah yang aku cagarkan pada pak ngah aku tu. Hutang RM18 ribu tu banyak, Lim…”
“RM18 ribu? Banyaknya… Kenapa kau cagarkan tanah tu?” soal Halim.
“Hampir tiga tahun lepas, aku perlukan duit tambahan untuk buat pembedahan jantung ibu aku. Aku terdesak sangat masa tu. Adik-beradik tak ada. Saudara mara pun bukan orang senang. Pak ngah aku ajelah yang berduit. Waktu tu, aku minta tempoh untuk bayar dalam masa lapan tahun. Dia setuju…”
“Kau bayarlah sikit-sikit…” cantas Halim.
“Memanglah! Sejak aku kerja dengan Mr. Chong lagi aku bayar sikit-sikit. Adalah dalam 300 ringgit sebulan. Tapi, tadi pak ngah telefon, mintak pendekkan tempoh. Aku kena langsaikan dalam dua tahun ni aje…”
“Eh! Boleh pulak pak ngah kau buat macam tu?” Berkerut dahi Halim.
“Pak ngah aku tu memang cara fikirnya lain sikit. Kalau aku cerita kat kau, macam mengata saudara sendiri pulak,” kata Hazry lagi. “Tapi, aku dah buntu ni.” Tentu sekali dia tidak mahu kehilangan tanah arwah ayahnya biarpun hanya sekangkang kera.
“Kau dah bayar berapa tahun?” soal Halim.
Hazry menarik nafasnya dalam-dalam. “Err… Baru enam bulan…”
“Enam bulan aje? Eh! Kenapa kau tangguh lama sangat?” soal Halim lagi.
“Err… aku pinjam duit tu masa aku mula jaga arwah ibu dan ayah aku sepenuh masa. Dua-dua sakit jantung. Dua tahun aku jaga mereka sambil kerja kampung. Aku tak ada gaji. Kerja kampung pun cukup untuk bagi makan aku sekeluarga aje. Bila aku bawak teksi, pendapatan tak banyak mana sebab aku bukannya bawa teksi kat KL. Kat Tangkak tu hah... Masa aku kerja dengan Mr. Chong, baru aku bernyawa. Masa tulah aku bayar 300 sebulan. Hari ni, dapat aje gaji pertama aku dari Haji Umar, aku bayar lagi.”
“Hah! Kau doublekan ajelah. Asalkan habis hutang kau dalam tempoh dua tahun.”
“Aku perlu bayar hampir RM800 sebulan tahu…”
“Hisy! Habis tu kau nak makan apa nanti?” soal Halim mengambil berat. Bagi dirinya jumlah itu terlalu besar. Mustahil untuk dibayar setiap bulan.
“Itulah aku cakap, aku buntu,” keluh Hazry. Kepalanya digaru-garu biarpun tak gatal.
Halim menarik nafas panjang. Terasa masalah itu seperti masalahnya pula. “Yang aku nampaklah kan…” Berjeda seketika. “Kau cuma ada dua pilihan, lepaskan aje tanah tu atau kau kerja gila-gila untuk cari duit.”
“Takkan aku nak lepaskan, Lim. Itu tanah pusaka arwah ayah aku…” tegas Hazry. Baginya, dia sanggup bersusah, tapi apa jalan yang dia ada? “Kalau aku bayar RM800 sebulan untuk tanah tu, aku cuma mampu bayar sewa rumah dan isi minyak motor ke tempat kerja aje. Duit untuk makan, kongsi bayar bil dan belanja dapur tak lepas…”
“Err… kau tak terfikir nak tinggal kat kuaters, Hazry?” soal Halim kebimbangan. Tak sanggup untuk dia memikirkan yang dia akan kehilangan teman serumahnya nanti. Halim juga tahu, di kuarters, semua keperluan makan minum disediakan Haji Umar.
“Aku tak selesalah tinggal di kuarters. Jiran aku perempuan. Tak ada pekerja lelaki yang tinggal kat sana.” Dia terbayangkan dia berjiran Bibik Susanti yang cukup suka berborak panjang tu. Haru!
“Pak andak kau kata apa?” soal Halim lagi.
“Pak andak aku kata, pak ngah aku tahu aku dah kerja dengan orang senang. Jadi, dia macam sengaja tekan aku,” beritahu Hazry. Jujur suaranya seperti selalu. “Pak andak aku kata, pak ngah aku buat macam tu sebab ada udang di sebalik batu.”
“Batu apa, Hazry?” kata Halim sedikit mengusik. Tidak boleh lari anak muda ini dari sikap lawaknya. Bukan dia tidak simpati pada Hazry, cuma wajah Hazry yang sangat serius cuba untuk ditenangkan. “Batu nak hempap kepala kau atau batu bata nak buat bangunan?”
“Kau ni… ke situ pulak.” Meleret suara Hazry. “Pak andak aku kata, dia rasa pak ngah aku nak kenenkan aku dengan salah seorang anak dara dia.”
“Eh! Itu dah kebaboom, bro! Hutang kau selesai, kau dapat bini. Macam orang putih kata, you kill two birds with one stone…” sahut Halim bersulamkan usikan. Penuh bergaya dia menuturkannya. Dia baru belajar peribahasa Inggeris itu dari supervisornya petang tadi. Hingga terlepas perkataan yang buat cuping telinga Hazry tegak berdiri.
“Kebaboom lah sangat!” balas Hazry. Rasa tak puas hati terpancar di wajahnya. “Tak naklah aku kahwin dengan sepupu sendiri. Anak-anak perempuan pak ngah aku tu semua ibaratnya kakak-kakak aku tau!” Cadangan Halim ditolak mentah-mentah.
Giliran Halim pula menggaru kepala. “Err… Kau pinjam ajelah duit bos kau… Haji Umar.”
“Hisy! Tak naklah, Lim. Memalukan aje. Baru kerja sebulan, dah pandai-pandai pinjam duit. RM18 ribu tu banyak tau…” tolak Hazry lagi. Seram dia mendengar cadangan Halim kali ini. “Kesian pak andak aku… malulah dia.”
“Kau nak berniaga tak?” soal Halim.
“Aku ada fikir macam tu juga, Lim. Daripada kerja part-time makan gaji, lebih baik berniaga.”
“Kalau jual burger malam-malam, kau sanggup?” cadang Halim lagi.
“Tapi, burger ni dah biasa sangat. KFC ada burger. Mc Donald ada burger. Burger King’s memang jual burger. Abang-abang burger pun dah melambak-lambak kat merata tempat. Itu belum lagi burger yang geng Fizo Omar jual.” Bersungguh Hazry mengutarakan pendapatnya.
“Betul jugak! Aku cadangkan kau jual burger tu sebab itu yang mudah…” beritahu Halim.
“Mudah juga orang tiru…”
Halim mengangguk. “Hmm… Kau ada cadangan lain?”
“Cadangan tu ada, tapi, aku ni kerja tak tentu masa, Lim. Kau pun tahu.” Hazry rasa keberatan. Itu antara perkara yang dia dah fikir. Namun, kekangan masa buat dia tidak terus memikirkannya. Dia hendak membuat sesuatu dengan sepenuh hati dan dengan kudratnya sendiri.
“Aku tolong kaulah. Kita kongsi buka dan jaga gerai sama-sama…” kata Halim. “Aku kan kerja dari pagi sampai petang aje. Kita berniagalah waktu malam.” Dalam diam dia ada agendanya sendiri. “Kalau kau busy, biar aku urus sorang. Yang penting kita kongsi modal…”
“Mana nak cari modal? Duit simpanan aku bukan ada banyak pun,” kata Hazry.
“Alah… Aku ni kan penjaga stor,” sahut Halim penuh keyakinan. “Aku banyak member. Banyak jumpa supplier juga. Nanti aku recce untuk kita. Kau jangan bimbang. Kita bincang apa yang kita nak buat dulu.”
“Mi bandung Muar,” cadang Hazry penuh yakin. “Resepi original. Bahannya kita sediakan kat rumah. Kat gerai kita tinggal masak aje.” Semasa memandu teksi, setiap kali terpaksa menghantar penumpang ke Muar, dia akan singgah makan mi bandung di gerai tepi Sungai Muar. Terlalu kerap membuat pemerhatian, mudah baginya membayangkan cara penyediaan menu dan pengurusan gerai yang sederhana saiznya. Dia yakin mereka mampu melakukannya.
“Kau tahu resepinya?” soal Halim kerisauan. Dia tahu mi bandung Muar memang popular. Tapi, dia tidak pernah merasainya.
“Insya-ALLAH... aku tahu. Lagipun, arwah ibu aku asal Muar. Arwah yang ajar aku masak. Hujung minggu ni, aku masakkan untuk kau…” Sempat Hazry berjanji. “Tapi, kita nak berniaga kat mana?”
“Hah! Itu kau jangan bimbang,” sahut Halim. “Aku ada perasan satu spot baik punya. Kat flat belakang OUG. Ada tanah kosong bawah pokok. Cukup untuk gerai dan meja makan tiga empat buah…”
“Kawasan tu okey ke?”
“Alah! Kat situ banyak flat. Banyak kedai yang tutup lambat. Tapi, tak ada gerai makanan langsung. Restoran ada, tapi tutup awal. Dekat pulak dengan bus stop. Insya-ALLAH, okey…”
“Kau selalu lalu kat situ?” soal Hazry.
“Bukan sekadar lalu. Itu tempat aku bertapa. Kan baby aku, si Nora tu tinggal kat situ…” jawab Halim selamba.
Tertawa Hazry melihat Halim yang sudah tersengih gatal. “Oh… Pandai kau ya. Kau berniaga nanti, ada yang teman…” usik Hazry.
“Tahu tak apa…” sahut Halim dalam tawa. “Tapi, Nora tu cuma dayang-dayang aku aje tau. Kau tu kalau ada masa mesti datang gerai juga. Manalah tahu, dengan muka kau yang lawa kacak tu, jadi pelaris kat gerai kita.”
“Tak adalah kacak. Aku orang kampung aje. Kereta tiada, motor pun arwah bapak yang punya…” jawab Hazry dengan ketawa. “Eh! Kau ni beria nak jadi partner aku, apa cerita?”
“Err… Aku nak mula kumpul duit untuk kahwinlah, bro,” kata Halim ceria.
Hazry terus sahaja menepuk bahu temannya. Jika Halim bahagia, dia turut bahagia. “Kau uruskan dan kita kira berapa modal kita perlu…”
“Baik, bos,” sahut Halim sambil ketawa.

BARU sahaja Hazry mahu menarik selimut, telefon bimbitnya pula berbunyi. Berkerut dahinya melihat nama pak andak yang muncul.
“Hazry, kamu kat mana?” soal Haji Zaini serius.
Sempat juga jam di atas meja dikerling si Hazry. Pukul 12.30 tengah malam. “Rumah. Kenapa? Pak andak okey tak?”
“Pak andak okey,” jawab Haji Zaini. “Hani Mariya yang tak okey. Kamu kena jemput dia…”
“Hah! Kenapa dengan dia?” soal Hazry terkejut.
“Dia terperangkap dalam galeri,” beritahu Haji Zaini. “Cepat, Hazry. Dia seorang aje tu…”
“Galeri? Galeri apa?” soal Hazry kehairanan.
“Galeri dialah…”
Pantas Hazry bangun. Biarpun masih banyak tanda soal dalam kepalanya, dia segera menyarung pakaian yang lebih sesuai. The Zero? “Apa hal Puan HM ke sana?”
“Pak andak tak tahu!” jawab Haji Zaini. “Dia telefon minta tolong dengan suara terketar-ketar sekejap tadi.”
‘Aduh! Kenapalah tengah malam buta kau merayap, bos?!’ Hazry merungut sendirian. “Pak andak jangan risau. Saya pergi tengok dia…”
“Jangan kamu beritahu Haji Umar pulak. Rahsiakan ni semua,” pinta Haji Zaini. “Minta si Halim teman. Mungkin kamu kena drive kereta Hani balik rumah dia nanti.”
“Dia drive ke sana ke?!” Hazry terkejut lagi. Dia masih tidak lupa kata-kata Haji Umar pada hari pertama dia bekerja. Hani Mariya ada penyakit panic disorder yang kronik. Jika penyakitnya menyerang, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Anggota tubuh badannya menggigil luar kawalan. Jika dalam keadaan yang lebih tertekan, dia akan menangis seperti orang yang dirasuk. Sudah beberapa kali dia terbabas hingga terlanggar tembok atau tiang ketika memandu sendirian. Sebab itu, Hani Mariya memerlukan pemandu dan Hazry diarahkan standby 24 jam untuk menghantar bosnya ke mana sahaja tak kira masa.
“Mungkin. Pak andak rasa aje. Takkan dia panggil teksi malam-malam macam ni…”
Bertambah kalut Hazry. Segera dia mengetuk pintu bilik tidur Halim. Bantuan temannya itu diperlukan. Sebagai tukang hantar dan tukang teman.

LIMA minit kemudian, dua anak muda itu sudah meredah pekatnya tengah malam untuk ke The Zero demi menyelamatkan Hani Mariya.
Sebaik berada di hadapan Galeri Seni HM, Hazry segera melekapkan muka di pintu kaca untuk memandang ke dalam. Dalam samarnya suasana galeri yang disimbahi cahaya lampu dari ruang legar di luar, Hazry terpandangkan susuk tubuh wanita itu terbaring meniarap di tepi kaunter kerja Jehan dengan tubuh yang menggigil. Begitu kuat gigilannya hingga Hazry boleh nampak dengan jelas.
Segera Hazry membuka pintu dengan kunci yang ada. Pintu gagal dibuka. Argh! “Kenapa ni?!”
Halim datang mendekati. “Kenapa?”
“Tak boleh buka pulak…” Hazry makin panik.
Halim menoleh kiri kanan. Pada panel kayu di sebelah kanan, terpasang alat kawalan keselamatan. “Pintu ni ada passwordlah! Macam stor kilang aku…”
“Biasanya Cik Jehan buka okey aje…” sahut Hazry tidak percaya. Dia sering melihat Jehan keluar masuk dengan kunci di tangan.
“Mungkin dia settingkan ikut masa. Inikan dah tengah malam…” beritahu Halim. Sekadar meneka.
“Aku call Cik Jehan…” kata Hazry. Segan juga rasanya untuk menghubungi wanita itu pada waktu malam. Tapi, dia terpaksa.
“Hazry…” panggil Jehan di hujung talian. Suaranya serak.
“Cik Jehan, apa nombor password galeri?”
“Awak nak buat apa?” Terkejut Jehan mendengar soalan Hazry pada jam-jam begini.
“Err… Puan HM terperangkap kat dalam ni…”
“Ya ALLAH! Apa dia buat?” soal Jehan lagi.
“Tolong beri password dulu, boleh? Saya bimbangkan puan. Nanti saya call Cik Jehan untuk maklumkan keadaan dia…”
“421201…” jawab Jehan. “Lepas tu tekan enter…”
Pantas Hazry menekan nombor satu demi satu. Enter! “Dah!”
Tit! Tit! Tit! Pintu kaca terenggang seketika.
“Awak boleh masuk!” arah Jehan. Dia turut mendengar bunyi itu.
Hazry menolak pintu kaca lalu berlari ke arah Hani Mariya. “Puan! Puan!” Kalut dia memanggil. Segera dia melutut di sisi bosnya yang hanya berpakaian ringkas. “Puan! Karpet ni kotor…” Itu yang dikatakannya. Hani Mariya seolah-olah menyembamkan mukanya di atas lantai berpermaidani.
Hazry mencempung tubuh Hani Mariya biarpun wanita itu mula meronta-ronta. Namun, bukanlah sekuat mana. Diletakkan terus tubuh itu di atas sofa. Air mata Hani Mariya meleleh jatuh ke pelipisnya. Nafasnya kesesakan.
“Saya ada… Jangan takut…” Itu pujukan Hazry. Lembut kedengaran di telinga.
Hani Mariya pantas memegang tangan Hazry. Kejapnya genggaman itu buat Hazry tahu wanita ini memang dalam tekanan. Genggaman tangan itu dibiarkan sahaja.
“Halim, kau buka lampu. Satu aje! Kau buka tingkap sana tu besar-besar…” arah Hazry. “Biar udara masuk…” Dia merasakan Hani Mariya memerlukan udara yang lebih nyaman. Galeri itu bertutup rapat. Sudahlah tiada penghawa dingin yang dihidupkan. Udaranya menjadi berwap dan suasananya merengsakan.
Hazry memandang Hani Mariya. Wanita itu berbaring mengerekot membelakangkan tubuh Hazry. Gigilannya masih ada. “Saya panggil doktor ya…”
No! No!! No!!!” pinta Hani Mariya sambil menggeleng. Tubuhnya menggigil lagi. Nafasnya kian pendek. Genggaman tangannya pada Hazry semakin kuat.
Hazry tahu itu isyarat penolakan. ‘Ya ALLAH! Aku tak tahu nak buat apa ni?’ jerit hatinya. “Tak! Tak! Tak! Saya tak panggil doktor.”
“Kau suruh bos kau tarik nafas panjang-panjang…” nasihat Halim perlahan di telinga Hazry. Dia sudah duduk di sofa berdekatan. Dia turut risau. Ini bukan gaya panik biasa. Dia pernah melihat orang panik disebabkan kemalangan atau kebakaran. Tapi bukan seperti ini. Seperti orang yang kena sawan, tetapi macam bukan.
“Puan tarik nafas panjang-panjang ya… Udara dari luar dah masuk. Segar sikit rasanya ni,” pujuk Hazry. “Saya ada dengan puan.” Dia memandang Hani Mariya dengan rasa simpati. Hendak diusap kepala wanita itu, macam tak patut pula. Diakan bos. Tapi, melihat keadaannya begini, hati Hazry menjadi lembut tidak terperi. Bimbang dia lupa diri atau terlebih laku. Dia segera membaca ayat Kursi. Perlahan. Cukup untuk buat dia dan Hani Mariya mendengar. Berulang-ulang entah berapa kali hingga Hani Mariya semakin menghampiri tenang.
Selepas itu, entah mengapa wanita itu menangis teresak-esak pula. Seperti anak kecil yang meminta manja.
“Kenapa?” soal Hazry perlahan. Dia sudi mendengarnya. “Puan beritahu saya… Saya tolong puan ya. Apa-apa aje…” Tidak letih dia melutut di sisi sofa putih itu. Dibiarkan masa berjeda. Sesekali angin lembut bertiup masuk buat Hazry rasa lega. Dia berharap Hani Mariya merasainya juga.
“Saya nak duduk,” pinta Hani Mariya tiba-tiba. Genggamannya pada tangan Hazry akhirnya dilepaskan.
Hazry tersenyum. Dia membantu Hani Mariya bangkit daripada pembaringan lalu diselesakan duduk wanita itu. Hani Mariya menundukkan muka. Hazry biarkan sahaja. Dia sekadar mampu duduk di sebelah. Dia sabar menunggu. Tiada guna jika dipaksa. Sekotak tisu di atas kaunter Jehan dicapainya lalu diletakkan di sisi Hani Mariya.
“Mana Pak Ni?” soal Hani Mariya dalam gigilan yang sedikit tersisa.
“Pak Ni tak dapat datang. Dia minta saya yang jemput puan kat sini…” jawab Hazry tenang. Dia tak perlu kalut.
“Saya nak Pak Ni…” pinta Hani Mariya. Lirih suaranya. Sehelai dua tisu ditariknya lalu dilapkan ke pipi.
Simpati pula Hazry melihatnya. Jelas Hani Mariya sangat selesa dengan Haji Zaini. “Pak Ni tak ada. Dia tak dapat datang. Lagipun, dia kan dah bersara…”
Hani Mariya menangis. Berjuring air mata di pipinya lagi.
“Shyy... Jangan nangis, puan. Saya ada dengan puan. Tak perlu risau…” pujuk Hazry perlahan. Dibiarkan masa berjeda. Tidak tahu apa lagi yang perlu dikata untuk memujuk Hani Mariya. Bukankah wanita itu isteri orang?
“Hana perlukan pensil warna. Pensil warna dia hilang. Esok ada kelas lukisan,” adu Hani Mariya tiba-tiba. “Hana beritahu lambat sangat. Pukul 11.30 tadi, kelam-kabut saya keluar. Puas saya cari. Kedai dan pasar raya semua dah tutup. Kat 7E, tak ada jual. Saya datang sini. Manalah tahu ada pensil warna dia yang lama kat sini. Tapi, tak ada…” Tangisannya kian melebat.
“Sabar, puan,” pujuk Hazry. Sungguh, dia bersimpati dengan apa yang terjadi. Hani Mariya memang ibu yang baik dan cukup mengambil berat.
“Saya risau. Hana tak mahu ke sekolah esok kalau tak ada pensil warna…” sambung Hani Mariya. Dia nampaknya sangat tertekan.
“Okey… Biar saya yang cari lepas saya hantar puan balik. Puan kena berehat,” pujuk Hazry lagi.
No! Abang Muneef suruh saya carikan pensil warna tu malam ni juga,” kata Hani Mariya.
“Puan, beritahu pada suami puan, saya yang akan carikan,” Hazry masih sabar memujuk. “Puan balik berehat dulu ya. Lagipun, Hana tengah tunggu puan.” Sengaja disebut nama Hana Maisarah sebagai umpan. Biarpun ketika menyebutnya, dia merasa semacam.
Hani Mariya mengangkat wajah. Dipandangnya wajah Hazry dalam-dalam. “Betul?” soalnya.
“Ya, biar saya yang carikan pensil tu untuk Hana,” janji Hazry.
Hani Mariya mengangguk perlahan. Dia menghulurkan tangannya kerana mahu berdiri. Hazry menyambut tangan itu untuk membantu.
Wanita itu memandang ke kiri dan kanan cuba untuk mengingati semula apa yang berlaku. Di mana beg tangannya?
“Puan nak apa?” soal Hazry.
“Beg tangan saya…” jawab Hani Mariya.
Hazry memandang keliling.
Halim pula bangun untuk membantu. Beg tangan putih ditemui lalu diserahkan pada wanita itu.
“Hazry, saya datang sini naik apa?” soal Hani Mariya. Gayanya kelihatan seperti orang yang keliru.
Hazry menggeleng. “Err… saya tak pasti. Puan naik teksi atau drive sendiri?”
“Oh! Saya drive kereta saya, Hazry!” jawab Hani Mariya. Beg tangannya dibuka. Kunci kereta ingin dicari, tetapi gagal. Air matanya menitis semula. “Mana kunci kereta saya?!”
“Saya cari. Puan duduk dulu ya…” pujuk Hazry. Bimbang panik bosnya datang lagi. Tak baliklah mereka sampai subuh nanti. Sekarang pun dah pukul 2.00 pagi. Sambil mencari kunci yang Hani Mariya maksudkan, dia menyuruh Halim menutup semua tingkap. Mereka perlu berkemas untuk pulang.

HANI MARIYA sudah duduk selesa di tempat duduk sebelah pemandu. Hazry pula berjalan keliling untuk memeriksa keadaan keempat-empat tayar kenderaan. Sempat juga dibelek kereta mewah penuh bergaya itu. Bagai ternampak-nampak di ruang matanya. Tapi, di mana ya? Dia pasti, dia tidak pernah melihat kereta itu di kawasan parkir hadapan rumah agam Haji Umar.
Dan buat pertama kalinya, Hazry memandu kereta sport berwarna putih dan bernombor plat satu digit itu. Ya, dia ingat akhirnya. Inilah kereta yang dia pernah nampak di gerai pisang goreng lebih sebulan dulu. Tapi, mengapa pemandunya ketika itu bertudung tetapi kini tidak? Adakah pemandunya orang yang sama? Iaitu wanita yang diam membisu di sebelahnya? Jika bukan dia, siapa?

Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! kini telah pun berada di pasaran.


Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Matahari pagi mula terik cahayanya. Hazry sudah setia memegangkan payung buat Hani Mariya. Sudah masuk minggu kedua. Seperti biasa, Hani Mariya membisu. Hanya ralit mencalit sedikit demi sedikit cat minyak pada kanvas lukisannya.
Hazry juga khusyuk memerhatikan. Terkadang matanya memandang pada lukisan. Terkadang pada peralatan lukisan Hani Mariya yang macam-macam. Dalam sesaat tanpa terduga, leher jinjang Hani Mariya juga diterjah dek mata si Hazry yang makin teruk penyakit degilnya.
Terkenang dia ceramah agama seorang ustaz di surau berdekatan rumah sewanya. Memandang aurat orang bukan muhrim buat kali pertama itu ibarat ‘rezeki’. Tapi jika kali kedua dan seterusnya itu dosa. Dalam hal dia, bagaimana? Hani Mariya hanya berjarak tiga kaki darinya. Bukan sahaja leher jinjangnya, telinga yang comel, anak rambut yang halus serta tahi lalat di pangkal leher sebelah belakang juga kerap terbayang di mata anak muda ini. Parah! Dia memang kena cari isteri.
“Ya ALLAH!” keluh Hazry perlahan. ‘Mencabar jiwa betul…’ jerit hati lelakinya.
“Kalau panas, awak masuk! Saya tak pernah suruh awak payungkan saya.” Keras suara Hani Mariya. Itulah 11 buah butir pertama yang keluar daripada mulut wanita itu setelah sekian lama.
“Maaf, puan. Saya...”
Belum sempat Hazry habis berkata-kata, Hani Mariya menoleh. “Sejak minggu lepas, dah beratus kali saya dengar perkataan maaf daripada mulut awak. Murah betul. Sepuluh sen dapat dua!” tegurnya lebih keras lagi. Adakah ini belang Hani Mariya?
Hazry terdiam. Betullah, dia mengaku. Serius! Hatinya kurang senang bila Hani Mariya bersikap beku. Katakan sahaja apa salahnya yang sebenar. Tidaklah dia menebak-nebak dan penat berperang dengan diri untuk elak bersalah sangka.
‘Ah! Siapalah kau, Hazry?’ Akalnya mula menyoal. ‘Ikut sahaja perintahnya. Dia bos, kau pekerja.’ Itu buat Hazry bertenang. Payung tetap dipegang erat-erat. Itu amanah Haji Umar padanya.
Hani Mariya memandang lukisannya semula. Dengan berus di tangan, dia mengambil warna kuning dari papan pencampur warna lalu dicalit-calitkan secara semberono di atas kanvasnya. Keras gerakan tangan itu buat Hazry tahu, diam adalah tindakan yang terbaik biarpun mungkin sampai bila-bila.

SEBAIK Jasni mengambil alih tugasnya, Hazry terus memandu pulang ke Kinrara Heights. Haji Umar mahu ke pejabat. Ada mesyuarat penting katanya.
“Hani okey tadi?” soal Haji Umar pada Hazry yang tenang memandu. Dia kelihatan kemas dengan kot dan tali leher. Terserlah gaya korporat bagi lelaki yang lebih kerap berkopiah kini.
“Err… nampaknya macam okey, tuan haji,” lapor Hazry tenang.
“Nampak macam okey?” soal Haji Umar pelik.
“Err… Puan HM… err… sangat jarang bercakap dengan saya. Saya cuma nampak keadaan luaran dia aje,” beritahu Hazry sedikit serba salah.
“Pelik!” sahut Haji Umar.
Hazry hanya diam.
“Setahu saya, dia agak rapat dengan Jehan, Jasni dan Haji Zaini. Cuma, dengan famili dia aje yang dia err… jual mahal sikit,” ucap Haji Umar perlahan.
Hazry tetap diam. ‘Anak tuan haji asyik menjeling saya, hempas barang pada saya atau buat-buat tak nampak saya sejak hari pertama saya masuk kerja. Saya mungkin ada tersalah kata. Saya dah minta maaf. Tapi, sampai sekarang, anak tuan haji belum memaafkan saya,’ bisik hatinya.
“Err… dia masih melukis lagi?” soal Haji Umar lagi.
Hazry mengangguk.
Haji Umar tersenyum. “Awak bertenang ajelah, Hazry. Selagi dia tak lari daripada saya, saya anggap dia selesa dengan awak. Layankan aje…”
“Baik, tuan haji,” jawab Hazry.
“Err… sebelum saya lupa, minggu depan, saya ada buat makan-makan untuk anak dan menantu. Itu majlis bulanan. Awak pun jemput datang ya. Saya panggil ustaz untuk beri satu jam tazkirah. Pembantu saya yang lain pun saya jemput.”
“Insya-ALLAH, tuan haji…” janji Hazry.

SEBAIK menurunkan Haji Umar di hadapan pejabatnya, Hazry terus berlalu. SMS dari Jehan memaklumkan yang Hani Mariya ingin ke Bagan Lalang.
‘Ah! Bagan Lalang lagi. Panas-panas begini dia mahu ke Bagan Lalang? Nak jadi ikan kering agaknya?’ soal Hazry di dalam hati. Satu SMS segera dihantar kepada Jehan.
Piknik?
Balasan dari Jehan buat Hazry menjungkitkan kening.
No! Painting…
Seperti yang dibayangkan, Hani Mariya leka melukis di bawah pokok. Namun, teriknya mentari tetap menembusi celah dedaun pokok yang tidak begitu merimbun. Atas dasar tanggungjawab, Hazry berdiri lagi di belakang wanita itu dengan payung yang digenggam erat.
‘Nasib! Nasib!’ bisik hati Hazry.
Jika Hani Mariya selesa diteduhkan, Hazry pula kerengsaan kerana kepanasan. Teriknya cahaya mentari ke tubuh, tidak dihadang dengan apa-apa. Sudahlah baju seragamnya berwarna serba hitam.
Tepat jam 4.00 petang, Hazry mula gelisah. Hani Mariya nampaknya terlalu leka melukis. Bagaimana dengan agenda biasanya? Bukankah sepatutnya dia perlu ke Sekolah Rendah Seri Mutiara? Berat mulutnya untuk bertanya. Bimbang Hani Mariya bertambah marah. Puas bersoal jawab sendirian, dia membuka mulut. Itu pun setelah setengah jam berlalu.
“Puan HM... Maafkan saya.”
Hani Mariya menoleh dengan wajah serius. ‘Maaf lagi,’ getus hatinya.
“Kita tak perlu ambil… err… Hana Maisarah balik dari sekolah ke?”
“Ya ALLAH!” jerit Hani Mariya. Jam di tangan dilihat sekilas. “Kenapa awak tak ingatkan saya?”
Terkebil-kebil Hazry. Dia pula yang dipersalahkan. Cakap salah, tak cakap salah! Namun, tangannya pantas membantu Hani Mariya mengemas peralatan lukisan.

SEPANJANG pemanduan dari Bagan Lalang hingga ke USJ, Hani Mariya bagai ibu kucing kehilangan anak. Cikgu Syarifah dihubungi beberapa kali. Bersungguh dia memohon jasa baik guru itu untuk menemankan Hana Maisarah hingga dia sampai di sekolah.
Sorry! Sorry!” ucap Hani Mariya sebaik dia bertemu Cikgu Syarifah. “Saya di Bagan Lalang tadi. Leka dengan kerja sampai tak tengok jam.”
Cikgu Syarifah hanya tersenyum simpati lalu menyerahkan beg sekolah Hana Maisarah.
“Hana, mummy minta maaf ya…” ucap Hani Mariya sambil memeluk anaknya. Syahdu wajah Hani Mariya melihat Hana Maisarah yang bermuram. Dia tahu anaknya merajuk.
“Mummy piknik ya?”
Pantas Hani Mariya menggeleng. “No! No! No, sayang. Mummy melukis. Mummy ke sana untuk ubah angin. Asyik duduk di galeri, mummy cepat penat…”
Bila mereka sudah berada di dalam kereta, Hani Mariya terasa tangannya disentuh Hana Maisarah. Dia menoleh memandang si anak.
“Beritahu driver mummy, lain kali dia tak boleh bawa mummy ke Bagan Lalang kalau Hana tak ada…”
Terdiam Hani Mariya mendengar bisikan manja dari bibir anaknya. Wajah Hana Maisarah yang mengharap, buat dia serba salah. Sudahlah dia sengaja menutup mulutnya rapat-rapat pada Hazry. Kini anaknya pula meminta dia menjadi posmen, sebagaimana dia menyuruh Jehan, Jasni, Mak Som atau Bibik Susanti sebelum ini.
“Mummy, please beritahu driver sekarang…”
Hani Mariya menarik nafas dalam-dalam sebaik mendengar bisikan Hana Maisarah yang sedikit menggesa. “Err… Hazry,” panggilnya.
Hazry menyahut, “Ya, puan.”
“Anak saya pesan, awak tak boleh bawa saya ke Bagan Lalang kalau dia tak ikut sama.” Perlahan suara Hani Mariya menyampaikan amanat si anak gadis sunti.
“Baik, Puan HM! Baiklah, Cik HM!”
Terbatuk Hani Mariya mendengar namanya dan nama anaknya disebut sebegitu sekali. Tiba-tiba Hazry menghulurkan sebiji gula-gula KISS ME.
“Untuk apa?” soal Hani Mariya.
“Melegakan tekak, Puan HM,” jawab Hazry tenang. Ada sedikit senyuman tergaris di bibirnya. Melihat Hani Mariya teragak-agak untuk mengambil pemberian itu, Hazry menyambung. “Jangan risau, puan. Gula-gula murah aje. Sepuluh sen, dapat dua…”
Terbuntang mata Hani Mariya mendengarnya.

LEWAT malam itu, Hani Mariya berdiri di tepi tingkap bilik tidurnya. Dari situ, dia memerhatikan hujan renyai yang turun membasahi bumi. Rintik air yang ternampak dek mata dari cahaya lampu di tembok pagar buat dia terasa sunyi.
Sebaik berpaling, dia boleh nampak Hans Muneef yang sedang pulas lena di katil. Bunyi nafas Hans Muneef memenuhi ruang ingatannya.
“Hmm… Sepuluh sen dapat dua…”
Terkejut Hani Mariya sebaik terdengar suara Hazry memecah kesunyian. Dipandang bilik tidurnya yang suram. Hazry tiada. Hanya ada satu nada bunyi yang menemaninya. ‘Beep! Beep! Beep!’

Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! telah berada di pasaran.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya