Matahari pagi mula terik cahayanya. Hazry sudah setia memegangkan payung
buat Hani Mariya. Sudah masuk minggu kedua. Seperti biasa, Hani Mariya membisu.
Hanya ralit mencalit sedikit demi sedikit cat minyak pada kanvas lukisannya.
Hazry juga khusyuk memerhatikan. Terkadang
matanya memandang pada lukisan. Terkadang pada peralatan lukisan Hani Mariya
yang macam-macam. Dalam sesaat tanpa terduga, leher jinjang Hani Mariya juga
diterjah dek mata si Hazry yang makin teruk penyakit degilnya.
Terkenang dia ceramah agama seorang ustaz di
surau berdekatan rumah sewanya. Memandang aurat orang bukan muhrim buat kali
pertama itu ibarat ‘rezeki’. Tapi jika kali kedua dan seterusnya itu dosa.
Dalam hal dia, bagaimana? Hani Mariya hanya berjarak tiga kaki darinya. Bukan
sahaja leher jinjangnya, telinga yang comel, anak rambut yang halus serta tahi
lalat di pangkal leher sebelah belakang juga kerap terbayang di mata anak muda
ini. Parah! Dia memang kena cari isteri.
“Ya ALLAH!” keluh Hazry perlahan. ‘Mencabar jiwa
betul…’ jerit hati lelakinya.
“Kalau panas, awak masuk! Saya tak pernah suruh
awak payungkan saya.” Keras suara Hani Mariya. Itulah 11 buah butir pertama
yang keluar daripada mulut wanita itu setelah sekian lama.
“Maaf, puan. Saya...”
Belum sempat Hazry habis berkata-kata, Hani
Mariya menoleh. “Sejak minggu lepas, dah beratus kali saya dengar perkataan
maaf daripada mulut awak. Murah betul. Sepuluh sen dapat dua!” tegurnya lebih
keras lagi. Adakah ini belang Hani Mariya?
Hazry terdiam. Betullah, dia mengaku. Serius!
Hatinya kurang senang bila Hani Mariya bersikap beku. Katakan sahaja apa
salahnya yang sebenar. Tidaklah dia menebak-nebak dan penat berperang dengan
diri untuk elak bersalah sangka.
‘Ah! Siapalah kau, Hazry?’ Akalnya mula menyoal.
‘Ikut sahaja perintahnya. Dia bos, kau pekerja.’ Itu buat Hazry bertenang.
Payung tetap dipegang erat-erat. Itu amanah Haji Umar padanya.
Hani Mariya memandang lukisannya semula. Dengan
berus di tangan, dia mengambil warna kuning dari papan pencampur warna lalu dicalit-calitkan
secara semberono di atas kanvasnya. Keras gerakan tangan itu buat Hazry tahu,
diam adalah tindakan yang terbaik biarpun mungkin sampai bila-bila.
SEBAIK Jasni mengambil alih tugasnya, Hazry
terus memandu pulang ke Kinrara Heights. Haji Umar mahu ke pejabat. Ada
mesyuarat penting katanya.
“Hani okey tadi?” soal Haji Umar pada Hazry yang
tenang memandu. Dia kelihatan kemas dengan kot dan tali leher. Terserlah gaya
korporat bagi lelaki yang lebih kerap berkopiah kini.
“Err… nampaknya macam okey, tuan haji,” lapor
Hazry tenang.
“Nampak macam okey?” soal Haji Umar pelik.
“Err… Puan HM… err… sangat jarang bercakap
dengan saya. Saya cuma nampak keadaan luaran dia aje,” beritahu Hazry sedikit
serba salah.
“Pelik!” sahut Haji Umar.
Hazry hanya diam.
“Setahu saya, dia agak rapat dengan Jehan, Jasni
dan Haji Zaini. Cuma, dengan famili dia aje yang dia err… jual mahal sikit,”
ucap Haji Umar perlahan.
Hazry tetap diam. ‘Anak tuan haji asyik
menjeling saya, hempas barang pada saya atau buat-buat tak nampak saya sejak
hari pertama saya masuk kerja. Saya mungkin ada tersalah kata. Saya dah minta
maaf. Tapi, sampai sekarang, anak tuan haji belum memaafkan saya,’ bisik
hatinya.
“Err… dia masih melukis lagi?” soal Haji Umar
lagi.
Hazry mengangguk.
Haji Umar tersenyum. “Awak bertenang ajelah,
Hazry. Selagi dia tak lari daripada saya, saya anggap dia selesa dengan awak.
Layankan aje…”
“Baik, tuan haji,” jawab Hazry.
“Err… sebelum saya lupa, minggu depan, saya ada
buat makan-makan untuk anak dan menantu. Itu majlis bulanan. Awak pun jemput
datang ya. Saya panggil ustaz untuk beri satu jam tazkirah. Pembantu saya yang
lain pun saya jemput.”
“Insya-ALLAH, tuan haji…” janji Hazry.
SEBAIK menurunkan Haji Umar di hadapan
pejabatnya, Hazry terus berlalu. SMS dari Jehan memaklumkan yang Hani Mariya
ingin ke Bagan Lalang.
‘Ah! Bagan Lalang lagi. Panas-panas begini dia
mahu ke Bagan Lalang? Nak jadi ikan kering agaknya?’ soal Hazry di dalam hati.
Satu SMS segera dihantar kepada Jehan.
Piknik?
Balasan dari Jehan buat Hazry menjungkitkan
kening.
No! Painting…
Seperti yang dibayangkan, Hani Mariya leka
melukis di bawah pokok. Namun, teriknya mentari tetap menembusi celah dedaun
pokok yang tidak begitu merimbun. Atas dasar tanggungjawab, Hazry berdiri lagi
di belakang wanita itu dengan payung yang digenggam erat.
‘Nasib! Nasib!’ bisik hati Hazry.
Jika Hani Mariya selesa diteduhkan, Hazry pula
kerengsaan kerana kepanasan. Teriknya cahaya mentari ke tubuh, tidak dihadang
dengan apa-apa. Sudahlah baju seragamnya berwarna serba hitam.
Tepat jam 4.00 petang, Hazry mula gelisah. Hani
Mariya nampaknya terlalu leka melukis. Bagaimana dengan agenda biasanya?
Bukankah sepatutnya dia perlu ke Sekolah Rendah Seri Mutiara? Berat mulutnya
untuk bertanya. Bimbang Hani Mariya bertambah marah. Puas bersoal jawab
sendirian, dia membuka mulut. Itu pun setelah setengah jam berlalu.
“Puan HM... Maafkan saya.”
Hani Mariya menoleh dengan wajah serius. ‘Maaf
lagi,’ getus hatinya.
“Kita tak perlu ambil… err… Hana Maisarah balik
dari sekolah ke?”
“Ya ALLAH!” jerit Hani Mariya. Jam di tangan
dilihat sekilas. “Kenapa awak tak ingatkan saya?”
Terkebil-kebil Hazry. Dia pula yang
dipersalahkan. Cakap salah, tak cakap salah! Namun, tangannya pantas membantu
Hani Mariya mengemas peralatan lukisan.
SEPANJANG pemanduan dari Bagan Lalang
hingga ke USJ, Hani Mariya bagai ibu kucing kehilangan anak. Cikgu Syarifah
dihubungi beberapa kali. Bersungguh dia memohon jasa baik guru itu untuk
menemankan Hana Maisarah hingga dia sampai di sekolah.
“Sorry! Sorry!” ucap Hani Mariya sebaik
dia bertemu Cikgu Syarifah. “Saya di Bagan Lalang tadi. Leka dengan kerja
sampai tak tengok jam.”
Cikgu Syarifah hanya tersenyum simpati lalu
menyerahkan beg sekolah Hana Maisarah.
“Hana, mummy minta maaf ya…” ucap Hani Mariya
sambil memeluk anaknya. Syahdu wajah Hani Mariya melihat Hana Maisarah yang
bermuram. Dia tahu anaknya merajuk.
“Mummy piknik ya?”
Pantas Hani Mariya menggeleng. “No! No! No,
sayang. Mummy melukis. Mummy ke sana untuk ubah angin. Asyik duduk di
galeri, mummy cepat penat…”
Bila mereka sudah berada di dalam kereta, Hani
Mariya terasa tangannya disentuh Hana Maisarah. Dia menoleh memandang si anak.
“Beritahu driver mummy, lain kali dia tak
boleh bawa mummy ke Bagan Lalang kalau Hana tak ada…”
Terdiam Hani Mariya mendengar bisikan manja dari
bibir anaknya. Wajah Hana Maisarah yang mengharap, buat dia serba salah.
Sudahlah dia sengaja menutup mulutnya rapat-rapat pada Hazry. Kini anaknya pula
meminta dia menjadi posmen, sebagaimana dia menyuruh Jehan, Jasni, Mak Som atau
Bibik Susanti sebelum ini.
“Mummy, please beritahu driver
sekarang…”
Hani Mariya menarik nafas dalam-dalam sebaik
mendengar bisikan Hana Maisarah yang sedikit menggesa. “Err… Hazry,”
panggilnya.
Hazry menyahut, “Ya, puan.”
“Anak saya pesan, awak tak boleh bawa saya ke
Bagan Lalang kalau dia tak ikut sama.” Perlahan suara Hani Mariya menyampaikan
amanat si anak gadis sunti.
“Baik, Puan HM! Baiklah, Cik HM!”
Terbatuk Hani Mariya mendengar namanya dan nama
anaknya disebut sebegitu sekali. Tiba-tiba Hazry menghulurkan sebiji gula-gula
KISS ME.
“Untuk apa?” soal Hani Mariya.
“Melegakan tekak, Puan HM,” jawab Hazry tenang.
Ada sedikit senyuman tergaris di bibirnya. Melihat Hani Mariya teragak-agak
untuk mengambil pemberian itu, Hazry menyambung. “Jangan risau, puan. Gula-gula
murah aje. Sepuluh sen, dapat dua…”
Terbuntang mata Hani Mariya mendengarnya.
LEWAT malam itu, Hani Mariya berdiri di
tepi tingkap bilik tidurnya. Dari situ, dia memerhatikan hujan renyai yang
turun membasahi bumi. Rintik air yang ternampak dek mata dari cahaya lampu di
tembok pagar buat dia terasa sunyi.
Sebaik berpaling, dia boleh nampak Hans Muneef
yang sedang pulas lena di katil. Bunyi nafas Hans Muneef memenuhi ruang
ingatannya.
“Hmm… Sepuluh sen dapat dua…”
Terkejut Hani Mariya sebaik terdengar suara
Hazry memecah kesunyian. Dipandang bilik tidurnya yang suram. Hazry tiada.
Hanya ada satu nada bunyi yang menemaninya. ‘Beep! Beep! Beep!’
Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! telah berada di pasaran.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
9/30/2014 06:37:00 am |
Category:
Naskah 2: SABD! - Bab 08
|
0
comments
Comments (0)