SELEPAS maghrib, Elza Zaharah terus
menghidupkan MacBooknya. Semua nota yang dicatat dan dirakam semasa
perbincangan dengan Puan Sri Halimah, ditaip kemas-kemas dan die-mel kepada
seluruh ahli kumpulannya. Satu e-mel ringkas juga dihantar pada Sylvia di New
York. Dia memaklumkan bahawa kerja renovasi hiasan dalaman akan bermula dan
perlukan guideline asas sebelum cadangan pertama dikeluarkan.
Tepat jam 10.00 malam, setelah selesai semua
tugas pejabat dan rumah, Elza Zaharah bersiap untuk pulang ke Pagoh. Beg
pakaiannya serta satu bakul beroda yang sederhana besar penuh dengan beg
plastik Mydin yang berisi pelbagai barangan keperluan telah diletakkan di tepi
pintu.
Tiba-tiba iPhonenya berbunyi. E-mel dari izack@quagold.com
buat Elza Zaharah mengerutkan dahi. Selama dia berhubungan dengan Sylvia, ini
kali pertama dia menerima respons dari Izack sendiri. Arahannya mudah, rumah
tersebut mesti dihias dengan ringkas, moden dan elit. Dua minggu lagi, dia akan
pulang ke Malaysia dan dia menyatakan jangkaannya untuk melihat perubahan yang
sewajarnya mesti telah dilakukan pada banglo tersebut.
Elza Zaharah termangu sebentar. Tanpa warna,
tiada perubahan yang mampu dilakukannya. Dua minggu? Proposal sahaja yang mungkin sempat dibuatnya. E-mel itu
dibalasnya dengan satu soalan. “Any suggestion for colors?” Jawapannya
juga mudah. “Please use your imagination... Thank you.”
Dia tidak dapat meneka samada Izack sudah
beristeri atau belum? Jika sudah, keperluannya tentu berbeza. Dia tidak pasti
samada Izack sudah memiliki anak atau belum? Jika sudah, tentu lebih bermacam
yang perlu dipertimbangkan. Menyesal pula mengenangkan betapa dia melepaskan
dua peluang untuk mendapatkan maklumat, iaitu ketika bersama Tan Sri Rushdi dan
kemudian bersama Puan Sri Halimah. Esok dia akan menghubungi Puan Sri Halimah
untuk mendapatkan maklumat tersebut.
Tiba di Hentian Rehat Ayer Keroh, jam sudah
menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Elza Zaharah berhenti untuk berehat seketika.
Namun, otak kreatifnya bagai tidak mahu berhenti berfikir. Dia sukakan cabaran,
maka dia terasa teruja dan melihat hal-hal ini seperti permainan puzzle
yang perlu disiapkan.
Ah! Daripada menunggu esok, baik dia
menghantar e-mel pada tuan punya badan.
Any specific room for babies/ children or
maid? Specific room for your interest – movie/ music/ other hobbies.
Tidak sampai lima minit.
No babies/ No children/ May be maid. Movie
& Music. Reading.
Elza Zaharah tersenyum. Dia gembira kerana
ada sepanjang hujung minggu ini untuk mencerna idea.
“Zara, lambatnya. Nek su dah risau tadi.”
“Assalamualaikum, nek su,” ucap Elza Zaharah
dalam keletihan.
“Waalaikumsalam… Naik cepat. Angkat beg baju
sahaja. Barang lain, Luqman akan tolong angkat esok,” arah orang tua itu.
Elza Zaharah segera masuk ke dalam rumah.
Sebaik masuk, dia ternampak tiga orang adiknya sedang lena tidur di ruang tamu.
Mereka mengerekot kesejukan walaupun berselimut.
Elza Zaharah masuk ke dalam biliknya. Selepas
meletakkan semua barangnya, dia turun ke dapur dan menyalami nek su yang sudah
menunggu di dapur bersama secawan teh O panas.
“Minum. Lepas itu tidur. Esok kita ke
hospital. Kena keluar jam 6.30 pagi.” Nek su mengingatkan lantas bangun untuk
naik dan menyambung tidurnya.
“Nek su kejutkan Zara ya. Takut tak terjaga,”
pesan Elza Zaharah pada nek su yang sudah mula memanjat tangga untuk naik ke
biliknya.
Tidak berani untuk dia memandang lebih lama.
Mana mungkin dia melupakan perkahwinannya yang seketika, namun manisnya hingga
kini masih terasa. Kerana kebaikan hati Khairul Iqbal, walau hanya melalui
perhubungan atas talian, Elza Zaharah berbesar hati untuk memastikan hubungan
mereka berkekalan.
Dia memastikan keperluan persekolahan
adik-adik Iqbal terjaga dengan baik, bekalan perubatan datuk dan neneknya tidak
putus serta makan dan pakai mereka sekeluarga tidak kekurangan. Untuk tujuan
itu, dia akan mengambil cuti pada salah satu Jumaat setiap bulan untuk pulang
ke Pagoh.
Khairul Iqbal! Pelajar jurusan pengajian
Al-Quran tahun akhir University of Jordan. Dia bertemu jejaka itu ketika
mengikut pak ngah dan mak ngahnya menjalankan ibadah umrah tiga tahun lepas.
Khairul Iqbal adalah mutawif yang kerap menguruskan urusan perjalanan pak ngah
dan mak ngah ketika menunaikan umrah.
Ketika membawa Elza Zaharah yang pada waktu
itu masih kesedihan kerana kehilangan ibu dan bapanya, Khairul Iqbal
ditakdirkan ALLAH berjaya memberi kekuatan buatnya untuk meneruskan kehidupan.
Malahan, Khairul Iqbal tidak teragak-agak untuk melamar Elza Zaharah, lalu
dengan nasihat pak ngah, mereka bernikah gantung di Mekah sehari sebelum Elza
Zaharah pulang semula ke tanah air.
Sejak itu, Elza Zaharah bertukar wajah. Dia
mula bertudung dan menutup aurat. Semuanya dengan tunjuk ajar Khairul Iqbal.
Semuanya dilakukan atas talian. Melalui e-mel dan Skype.
Dua hari selepas Elza Zaharah tamat
peperiksaan akhir semester terakhirnya, dia menerima berita yang Khairul Iqbal
meninggal dunia akibat kemalangan. Selepas kematian ibu dan ayah,
kegembiraannya bersuamikan Khairul Iqbal juga tidak berkekalan. Maka, untuk
meneruskan ingatannya terhadap arwah suaminya, inilah yang dilakukannya sebagai
satu komitmen seumur hidup.
Di dalam kedinginan malam di Kampung Api-Api,
Pagoh, Elza Zaharah akhirnya menutupkan mata. Melepaskan sementara apa sahaja
yang berat di bahunya dan berselirat di akal fikirannya.
4/19/2013 09:19:00 am |
Category:
Naskah 1: JLA - Bab 02
|
0
comments
Comments (0)