“FANTASTIK!” Itu ucapan pertama Haikal yang menyuap ubi
kayu rebus cicah sambal tumis ikan bilis. Hadi yang duduk di sebelah hanya
ketawa gembira. Haikal, berusia lima tahun adalah anak bongsu arwah Haji A.
Rahim dan arwah Hajah Samsiah.
Arwah
Haji A. Rahim adalah anak tunggal Kiyai Ali. Haji A. Rahim memiliki empat orang
anak lelaki iaitu Khairul Iqbal, Muhammad Luqman, Muhammad Hadi dan Muhammad
Haikal. Luqman kini berada di tingkatan tiga dan Hadi pula di dalam darjah
lima.
“Kak
Zara, Haikal nak ikut akak ke Kuala Lumpur, boleh?”
“Sekolah
belum cuti, kan?” kata Elza Zaharah. Dia yang memang gemarkan ubi kayu rebus
dan sambal tumis ikan bilis menikmati hidangan itu tanpa memandang Haikal yang
berbicara dengannya.
“Belum
tapi Haikal nak booking dulu. Cuma Haikal aje. Boleh tak?” pinta
Haikal lagi.
“Kalau
nak ikut, kena ikut sebulan. Kena ikut Kak Zara ke pejabat, tengok site project. Sanggup ke? Botol susu kena tinggal di
rumah. Sanggup?” usik Elza Zaharah.
“Sanggup!
Asal Kak Zara bawa Haikal ke Zoo Negara...”
Kata-kata
itu membuatkan Elza Zaharah memandang Haikal sambil berkerut dahi. “Oh! Dahlah
Kak Zara kena heret Haikal sebulan ke sana sini, kena bawa lagi ke Zoo Negara...”
bebel Elza Zaharah tidak puas hati dengan cara Haikal berunding. Berat sebelah!
“Bolehlah...”
pujuk Haikal manja.
“Tak
janji, insya-ALLAH... Kak Zara sibuk sikit sekarang, tapi Kak Zara cuba
usahakan. Boleh sabar tak?” soal Elza Zaharah pada si kecil.
“Boleh...”
balas Haikal terangguk-angguk.
Nek
su tersenyum melihat manjanya Haikal pada Elza Zaharah. Macam-macam yang berani
dimintanya. Orang tua itu bersyukur, dia merasakan, jika dia dan Kiyai Ali
pergi dulu, Elza Zaharah layak untuk menjaga cucu-cucunya.
Elza
Zaharah seorang yang penyayang tetapi tegas. Dia memang memanjakan adik-adik
iparnya, namun, jika dia tidak bersetuju tentang sesuatu, dia pasti tidak
teragak-agak untuk menyatakannya. Contohnya pagi tadi, di hadapan nek su, Elza
Zaharah serius menolak permintaan Luqman yang inginkan sebuah motosikal.
“Luqman
belum cukup umur untuk ambil lesen. Kak Zara boleh belikan motor dengan syarat
PMR dapat 6A dan ada lesen. Jika tidak, kumpul duit sendiri dan beli sendiri!”
tegas Elza Zaharah bersuara.
Luqman
yang membuka mulut menyatakan hasrat hati hanya terdiam. Dia dapat meneka Elza
Zaharah tahu yang dia inginkan motor itu untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Ingin
jadi hero di kalangan pelajar Sekolah Menengah Dato’ Sulaiman, Parit Sulong.
Apatah lagi, baru-baru ini gadis pujaan hatinya, Soraya, yang juga teman
baiknya, dalam diam sudah pandai menghantar nota ringkas pada rakan di kelas
sebelah, Hafiz yang mula menunggang motor ke sekolah. Itu buat hati mudanya
bercelaru dan lari dari fokus.
6A
dalam PMR? Itu bagaikan sebuah permintaan berganda. Selama ini pencapaiannya
hanyalah 3A sahaja. Yang lain biasanya C dan D.
Dia
tahu, bukan sedikit masa, tenaga dan wang yang disumbangkan oleh wanita muda di
hadapannya. Malahan, terkadang Luqman sudah pandai membandingkan bilangan kerut
di dahi Elza Zaharah dan Cikgu Dhani, guru kelas yang sebaya dengan kakak
iparnya. Ternyata wajah gurunya lebih tenang tanpa kerutan.
“Kak
Zara, terima kasih sebab belikan Hadi basikal,” kata Hadi memecah suasana.
“Basikal
buruk Abang Hadi bagi pada Haikal ya,” pinta Haikal sambil tersenyum. Giginya
sudah banyak yang rongak kerana suka curi-curi makan gula-gula.
“Boleh,
tapi tak boleh bawa laju-laju. Handle basikal tu dah longgar. Dah baiki banyak kali
tapi tak boleh betullah,” balas Hadi.
“Luqman
boleh baiki handle basikal tu tak?” tanya Elza Zaharah.
“Tak...”
jawab Luqman dengan wajah murung yang ditunjukkan sejak balik dari sekolah.
Dari
reaksi itu, Elza Zaharah tahu yang adiknya itu masih tidak berpuas hati dengan
keputusannya awal pagi tadi. Namun, dia tenang sahaja, tidak mahu merumitkan
keadaan. Luqman sudah berusia 15 tahun. Walaupun baru awal remaja, Elza Zaharah
mahu melatihnya menjadi dewasa kerana tok su dan nek su semakin tua. Dia perlu
belajar erti tanggungjawab lebih cepat.
Sesudah
makan, semua adik-adik membantu mengemas.
“Maghrib
ini, nek su nak ke masjid. Zara nak ikut?” soal nek su pada wanita muda yang
sedang menyusun barangan dapur yang dibelinya di Mydin Subang.
“Insya-ALLAH,
nek,” jawab Elza Zaharah tenang.
“Kalau
terjumpa Mak Cik Misah kamu, macam mana? Nanti dia serang kamu lagi,” soal nek
su kegusaran. Bukan dia tidak tahu Elza Zaharah sering menjadi topik
perbincangan mesyuarat tingkap Mak Misah tidak kira di mana. Mengapa? Kerana
untuk bernikah dengan Elza Zaharah, Khairul Iqbal terlebih dahulu menghantar tok
su dan nek su memutuskan pertunangannya dengan Siti, anak Mak Misah.
Siti
adalah ibarat anak dara idaman yang menjadi rebutan seluruh kampung. Ketika Mak
Misah menerima pinangan Khairul Iqbal, bukan Mak Misah berkenan sangat dengan
anak muda itu, tetapi kerana Siti yang sudah tergila-gilakannya. Hingga Siti
berkeras menolak peminangan orang lain termasuk bakal doktor dan bakal guru.
Walaupun
kisah itu sudah lama berlalu, Mak Misah tetap berdendam kerana Siti sudah
terlepas semua calon pilihannya. Oleh kerana Khairul Iqbal tidak kembali, Elza
Zaharahlah yang menjadi sasaran perasaan tidak puas hati Mak Misah.
“Zara
senyum sahaja, nek. Apa lagi yang mampu Zara buat. Jika Zara lawan, jadi dosa
kerana dia orang tua. Lagipun, apa yang diperkatakannya itu benar. Zara terima
takdir-NYA,” jawab Elza Zaharah tenang.
“Kak
Zara buat apa? Design projek lagi ya,” tegur Haikal sambil tersenyum.
Elza
Zaharah mengangguk. Adiknya yang kurus kering itu diangkat untuk didudukkan di
pangkuannya. Sambil itu, dia menekan-nekan button ‘next’ untuk meneliti gambar-gambar itu.
“Macam
mana nak sebut ni? Eeee Zak?” tanya Haikal pada nama Izack yang Elza Zaharah
tuliskan di buku notanya.
“Ai...
zek...” Elza Zaharah membetulkan sebutan Haikal.
“Macam
orang putih,” kata Haikal sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Elza
Zaharah ketawa. “Memang orang putih...” Sengaja mempermainkan adiknya.
“Wah!
Kak Zara cakap orang putih ya?” tanya Haikal.
“Ya!
Sebab itu Kak Zara nak adik-adik Kak Zara belajar bahasa Inggeris betul-betul,”
nasihat Elza Zaharah.
Haikal
mengangguk. “Nak lukis dengan Kak Zara!” pintanya.
“Pergi
ambil buku lukisan yang Kak Zara belikan,” arah Elza Zaharah.
Adiknya terjun dari pangkuan dan mengambil buku lukisan
yang dimaksudkan di kabinet buku tidak jauh dari meja makan yang menjadi tempat
mereka membaca dan menyiapkan kerja sekolah setiap malam. Dia datang semula
dengan buku lukisannya dan sekotak pensil warna yang besar.
“Kak
Zara, Haikal nak bawa pensil warna yang besar ni ke sekolah. Tapi, Abang Hadi
kata tak boleh, takut orang ambil,” adu Haikal.
Hadi
yang mendengar namanya disebut, bangun dan datang merapati mereka. Mungkin
seronok dengan peralatan Elza Zaharah yang pelbagai atau tiada cerita menarik
di TV, menyebabkan dia mengambil beg sekolah dan mengeluarkan buku sekolahnya.
Dia duduk dan mula menulis untuk menyiapkan kerja sekolah.
Elza
Zaharah menulis sesuatu di buku notanya. Idea bilik kerja Izack dilakar
ringkas. Entah mengapa dia bermula dari bilik itu. Bukannya ruang tamu seperti
rekaan buat pelanggan lain. Ah! Izack kan berbeza…
Satu
demi satu ruang Elza Zaharah cuba untuk lakarkan. Kedudukan perabot dan warna
yang ingin dicadangkan. Sistem pencahayaan dan pengudaraan. Dari siling hingga
ke lantai. Dari dalam hingga ke luar. Dari depan hingga ke belakang. Semuanya
diambil kira. Semuanya diteliti. Sehingga dia berpuas hati!
4/19/2013 09:33:00 am |
Category:
Naskah 1: JLA - Bab 03
|
0
comments
Comments (0)