“Fantastik!” Itu
ucapan Elza Zaharah setelah dia dan sebahagian ahli kumpulannya duduk selama
tiga jam untuk menggabungkan idea keseluruhan rekaan dalaman rumah milik Izack
Tan Sri Rushdi. Matanya masih tidak lepas dari memandang papan putih yang
mempunyai contengan tangannya. Di sebelah atas papan tersebut dituliskan dengan
jelas dan terang “ISTANA IZACK”.
Dalam pada masa Elza Zaharah berdiam, ahli
mesyuarat yang lain masih berbincang-bincang mengenai idea tambahan yang ingin
mereka letakkan. Mereka teruja untuk melihat hasilnya kerana ini kali pertama
mereka mendapat projek ‘unlimited budget’.
Tiba-tiba Rita menjerit dari pintu
hadapan pejabat mereka. “Bos, kita dah dapat floor
plan.”
“Good.”
Elza Zaharah tersenyum lega.
Rita berjalan masuk ke dalam bilik
mesyuarat. Kesemua enam orang yang ada di dalam bilik mesyuarat itu tajam
memerhatikannya. “Wah! Specialnya
projek ini. Siap ada nama lagi. Istana Izack...”
“Bos bagi nama,” kata Diana.
Beberapa orang antara mereka hanya tersenyum.
“Cuba teka siapa nama sebenar
Izack?” soal Rita sambil mengeluarkan beberapa kertas putih bersaiz A3 dari plan
casing yang dibawanya.
“Zakaria atau Zachary?” Zakwan
meneka.
Rita tersenyum, namun menggeleng.
“Zulkifli...” Rizal pula meneka.
Rita menggeleng juga. “Kalau ada
antara you all yang betul, bos akan belanja
piza untuk kita semua. Jika tidak, bos akan belanja Rita seorang aje.”
“Bos pulak yang kena,” kata Shiela
sambil ketawa.
“Teka? Teka!” jerit Rita lagi.
“I dan Zack,” kata Elza Zaharah
tanpa dijangka.
“Bos, you tak boleh cakap.” Rita
bagai tidak puas hati.
“I tak tahu, jadi I nak teka juga.
Kalau I betul, Rita belanja I,” kata Elza Zaharah.
Mereka ketawa mendengar kata-kata
Elza Zaharah. Serius tetapi mengena.
“Idham Zamzury...” teka Elza Zaharah
lagi.
Rita menggeleng.
“Izwan Zamani...” teka Elza Zaharah
tanpa putus asa.
Rita menggeleng.
“Izhar Zulkhairi...” sekali lagi
wanita berbaju kasual serba hitam itu meneka.
Rita masih menggeleng.
“Err... Saya dah habis teka.
Sekarang dah pukul 12.30 tengah hari. Saya nak keluar makan dulu. You
all tekalah sampai habis waktu lunch.
Diana! Design itu mesti siap Rabu ini jam
9.00 pagi. Petang ini awak dapat copy floor plan
dari Rita.” Dia melambaikan tangan pada Rita agar menghampirinya padanya.
Rita menghampiri Elza Zaharah sambil
ketawa kerana dia sudah tahu apa yang bosnya akan minta dia lakukan. Sebaik dia
menghampiri Elza Zaharah, bos muda itu menghulurkan tangan kanan. Itu tandanya,
serahkan dokumen itu pada saya! Dia menyerahkannya tanpa banyak soal.
Elza Zaharah membelek lima helai
pelan lantai itu dengan teliti. Dia hampir terlepas pandang nama pemilik yang
tertulis di bahagian bawah kertas itu. Hinggalah ke muka surat terakhir,
barulah dia membaca nama orang putih yang dipanggil Izack. Ilham Zackry Bin
Rushdi. Ilham Zackry atau Izack. Ilham yang mengilhamkan, katanya di dalam
hati.
Dia tersenyum lantas mengangkat muka
pada semua ahli kumpulan kerjanya. “Ada satu Z. Dua A. Satu I. Satu Y. Satu R.
Satu H. Satu L... ada beberapa huruf lagi... Happy
lunch! Rita akan bagi jawapan dalam jam 2.30 petang,” ucapnya
lalu bangun dengan membawa MacBooknya masuk ke pejabatnya.
Membuat pesanan di JM Beriyani
adalah perkara yang tidak sukar. Mereka memilih menu yang sama saban minggu. Nasi
Beriyani Ayam Masak Merah, Tauhu Bakar dan 3-Layer Tea. Selesai makan, mereka
memilih dessert Caramel Pudding
atau ais krim.
“Famili di Pagoh okey?” soal Zarina,
teman baik Elza Zaharah sejak menuntut di UiTM
lagi. Dia anak kelahiran Pulau Pinang. Anak Mami! Kulitnya hitam manis, namun
gayanya buat mata memandang tak jemu. Zarina memiliki butik sendiri. Z-Fashion
yang terletak di Shah Alam. Bermula dari perniagaan online,
kini Zarina melangkah setapak lagi dengan membuka butik tersebut.
“Alhamdulillah... Adik-adik dah
makin besar. Tapi, atuk dan nenek dah makin tua.” Sebak hati Elza Zaharah
tiba-tiba. Sebenarnya dia bimbang. Hanya orang tua itulah yang dia ada selain Pak
Ngah, adik angkat arwah bapanya.
“Hei... Zara dah jaga mereka dengan
baik, kan?” pujuk Zarina perlahan. Dia tahu, keluarga Khairul Iqbal memang
orang susah. Mujur, arwah ibu bapa Elza Zaharah meninggalkan sedikit duit
simpanan. Dengan duit itulah Elza Zaharah menampung kehidupannya dan keluarga
yang Khairul Iqbal tinggalkan.
Elza Zaharah juga menggunakan
RM30,000.00 dari duit arwah ibubapanya untuk memulakan Dreams Design berkongsi
dengan Sofea dan suaminya, Ariffin yang ketika itu baru mendapat dua projek,
namun, mereka tiada modal. Sedikit demi sedikit Dreams Design membesar sehingga
memiliki 18 orang warga kerja. Elza Zaharah memegang pemilikan Dreams Design
sebanyak 60%, Sofea 20% dan suaminya, Ariffin 20%.
“Kalau dia orang tak ada, Zara rasa
keseorangan,” adu Elza Zaharah lagi. Air matanya
mula bertitisan.
“Reen kan ada, Zara...” pujuk Zarina
menahan sebak. Tangan temannya itu diramas perlahan.
“Apa-apa berlaku, Zara kena ready
untuk bawa adik-adik ke KL. Kesihatan atuk dan nenek dah semakin tak menentu.
Sebulan dua lagi, Zara kena cari orang yang boleh tolong masak dan hantar
makanan untuk mereka pagi, tengah hari dan malam. Tahun ini Luqman nak ambil
PMR. Zara kena pantau sekolah dia juga.”
“Kenapa tak hantar pergi tuisyen?”
cadang Zarina.
“Dia tak minat. Dah offer
tapi dia tak mahu,” kata Elza Zaharah.
“Attach
dengan guru sekolah terus. One to one session,”
cadang Zarina lagi.
Elza Zaharah menggeleng.
“Mahallah... Takkan nak bayar RM 50? Paling kurang RM 200 per subjek.”
“Guna duit insurans Arwah Iqbal yang
Zara masukkan dalam akaun adik-adik dia. Itukan duit Zara sebenarnya. Zara yang
baik hati untuk buka akaun untuk adik-adik dia,” cadang Zarina lagi.
Elza Zaharah menggeleng. “Tak boleh.
Jika apa-apa yang berlaku pada Zara, itu sahaja duit yang tinggal buat mereka.”
Wajahnya semakin serius biarpun tiada lagi air mata yang mengalir di pipinya
yang putih licin. “Zara kena kerja lebih kuat.”
Zarina menggeleng. “Zara kerja dah
cukup kuat. Cuma setiap Isnin sahaja kita boleh jumpa. Sabtu dan Ahad pun Zara
ke pejabat atau jumpa client.
Come on
lah... You tak enjoy your life
pun.”
“I have to. Last week, Zara
dapat unlimited budget project.”
“Apa maksud
Zara? Dahlah unlimited budget...
Don’t
make me scare, Zara,” tegur
Zarina bimbang temannya itu terlepas garisan.
Elza Zaharah tersenyum. “Zara akan
caj untuk servis dan produk terbaik. Harapan Zara, hasilnya pun yang terhebat
pernah Zara buat.”
“Oh! Ingatkan Zara nak buat apa
tadi.”
“Zara masih tahu bezakan halal
haram. Insya-ALLAH...”
“Tak pernah dengar unlimited
budget project. Cerciter sikit...” pinta Zarina dengan gaya sedikit mengusik.
Elza Zaharah ketawa. “Ada
jutawan yang beli banglo mewah untuk anak dia. Zara dapat projek untuk design
dan siapkan semuanya. Make it easy for him.”
“Him? Hmm…
macam projek bagus aje.” Zarina mengangguk. Nasi Beriyani yang baru terhidang
disuap ke dalam mulutnya perlahan. “Siapa nama tuan punya badan?”
“Izack...” jawab Elza Zaharah.
“Izack? Siapa? Nama dia Izack?” soal
Zarina ingin kepastian. “Apa nama penuh dia?”
Elza Zaharah mengangguk. “Cuba
teka?”
“Entah! Macam nama Yahudi aje.”
“Itu Isaacs...” kata Elza Zaharah
serius. Dia yakin, kerana dia tahu ejaan Izack dari alamat e-mel lelaki itu.
“Ini Izack... Tekalah!”
“Err... Iskandar?”
Elza Zaharah tergelak. “Salah...
Ilham Zackry... anak lelaki Tan Sri Rushdi,” jawabnya.
“Tan Sri Rushdi, Global Ventures?”
soal Zarina ingin kepastian.
“Yes...
Tan Sri yang beri projek ini pada Zara. Alhamdulillah...” balas Elza Zaharah.
Zarina tersenyum sambil terus
menyuap nasi. Sambil itu, matanya memandang Elza Zaharah. Rakannya yang dulu
seorang ceria bertukar duka sejak ibu bapanya meninggal. Dia kemudian kembali
ceria apabila muncul Khairul Iqbal dalam hidupnya. Namun, sejak Khairul Iqbal
pergi, ceria itu hilang. Dia menjadi orang yang serius, pendiam dan suka
berfikir dalam-dalam. Sesekali sahaja dia ketawa.
“Reen nak kahwin awal tahun hadapan.
Zara kena jadi pengapit Reen tau,” pinta Zarina.
“Alamak... Reen tak ada cousin
yang boleh jadi pengapit ke?” tanya Elza Zaharah sambil mengerutkan dahi.
Reaksi Elza Zaharah sudah dijangka
Zarina. “Ada... Tapi, Zara kawan Reen. Reen dah maklumkan pada mami. Mami
setuju.”
“Zara dah kahwin, Reen. Pilih anak
daralah. Nanti hilang seri Reen atas pelamin.”
“Bukan awak masih anak darakah?”
soal Zarina berbisik.
Bulat mata
Elza Zaharah. Statusnya sebagai janda berhias memang ditutup rapat-rapat.
Kebanyakan stafnya memanggilnya dengan nama, bos atau Puan Zara dan bukannya
Cik Zara. Elza Zaharah lebih gemarkan begitu! “Reen, selepas Arwah Iqbal, Zara
tak letak perkahwinan sebagai priority. Adik-adik dan business dah
cukup buat Zara busy.”
“15 tahun lagi adik-adik Zara dah
besar dan ada hidup sendiri. Paling tak pun, mereka sibuk hal sekolah mereka. Business
Zara akan maju, insya-ALLAH, dan Zara akan jadi super bos yang asyik kira duit.
Sekarang pun Zara dah jadi bos, cuma bos a.k.a macai, sebab syarikat masih
kecil. Kalau dah jadi firma, macam mana? Tiba masa Zara akan sunyi. Hanya anak
dan suami sahaja akan buat Zara happy. Itu yang
mami Reen cakap,” kata Zarina panjang lebar. Bukan sekali dia berbicara tentang
keperluan berumah tangga dengan Elza Zaharah. Bukan sekali juga Elza Zaharah
menolaknya.
“Segan.”
“Reen pun segan. Kita segan
sama-sama ya...” pujuk Zarina lagi.
“Tapi Zara ni janda, Reen. Nanti
orang mengata, susah nak tepis. Silap-silap orang kata Zara menggatal cari
laki.”
“Mulut orang mana boleh kita
tutup...” kata Zarina.
“Betul! Tapi, janganlah pula kita
tolong buka mulut-mulut itu tak tentu pasal,” balas Elza Zaharah.
“Yalah...” jawab Zarina akur dengan
nasihat Elza Zaharah, namun menyambung dengan penuh harapan, “... tapi apa
salahnya tahan telinga demi Reen. Kitakan kawan baik. Kenduri pun lama lagi.
Panjang lagi masanya untuk Zara imagine.
So,
atas pelamin tak kaku.”
“Zara atau Reen yang nak kena imagine
atas pelamin tu? Reen kot!” sahut Elza Zaharah mentertawakannya.
“Kita imaginelah
sama-sama,” cadang Zarina masih mencuba. Dia
juga turut tertawa.
“Maaf ya. Zara tak mahu,” jawabnya
pasti.
Zarina pula yang termangu. Putus
ilham untuk memujuk Elza Zaharah. Ah! Esok atau lusa masih ada lagi.
Payah-payah, dia akan meminta maminya menghubungi Elza Zaharah dan memujuk
temannya itu. Bukankah Mami Reen
adalah Mami Zara juga? bisik hati Zarina sendirian.
4/19/2013 10:00:00 am |
Category:
Naskah 1: JLA - Bab 05
|
0
comments
Comments (0)