FANTASTIC... Itu yang tertulis dalam e-mel dari Izack kepada Elza Zaharah 20 minit selepas wanita muda itu meng-e-melkan visual cadangan untuk hiasan dalaman dan luaran rumah tersebut.
Hanya ada beberapa permintaan tambahan. Dia mahukan peti besi yang besar di bilik bacaannya. Saiz peti besi tersebut ada diberikan dengan jenamanya sekali. Dia juga mahukan alarm dipasang di setiap pintu keluar dan keseluruhan rumah tersebut mesti ada CCTV kecuali di bilik tidur. Dia mahu memasukkan talian telefon dan faks serta internet. Istana Izack mesti lengkap dengan wifi!
Memandangkan ini merupakan projek unlimited budget, Elza Zaharah membalas e-mel.
How about satellite TV? We would like to suggest ASTRO line for TV in family area, study room and master bedroom.
Izack membalas.
Yes, and all bedrooms, please...
Elza Zaharah tersenyum senang. Mudah bekerja dengan lelaki seperti ini. Ringkas dan pantas. Mudah dibela, desis hatinya.
Seterusnya, dia menghantar semua maklumat kepada Rita dan Salwa yang akan berganding bahu mendapatkan quotation. Elza Zaharah juga menimbang-nimbang untuk melantik Rizal menjadi pengurus projek untuk Istana Izack. Namun, projek yang dikendalikan oleh Rizal dijangka siap lebih lewat dari jadual berikutan perubahan material di atas permintaan pelanggan. Shiela dan Haziq pula sibuk dengan dua projek pada satu masa. Hendak diberi pada staf junior, dia tidak berani. Nampaknya, dia sendiri yang akan mengurus dan memantau projek ini.
Sesudah quotation dari pelbagai vendor dan supplier diterima, Elza Zaharah, Rita dan Salwa duduk semeja untuk memilih produk dan perkhidmatan lepas jualan yang terbaik bagi kepentingan pelanggan mereka. Dua hari membelek bermacam dokumen sebut harga, buku katalog dan website bagi pelbagai jenis perabot, barangan elektrik dan perhiasan dalaman, satu sebut harga bersama deskripsi rasional pemilihan rekaan, material, kelebihan produk dan penggunaannya disediakan.
Kesemua dokumen tersebut diletakkan di dalam satu fail putih yang bakal dihantar kepada Ilham Zackry sebaik dia tiba di Malaysia dua hari lagi.
Namun, Elza Zaharah juga menghantarkan satu e-mel yang disertakan sekali dengan 15 muka surat sebut harga dari Dreams Design yang bernilai hampir RM 2.0 juta. Bayaran pendahuluan sebanyak 30% diperlukan sebagai komitmen dari pihak Ilham Zackry.
Tidak sampai 10 minit, jawapan telah diterima.
 
Just proceed! 30% will be TT to the stated account number today.
 
Elza Zaharah, Rita dan Salwa saling berpandangan. Bulat mata mereka membaca e-mel itu. Berkali-kali juga mereka membacanya.
“Alhamdulillah...” ucap Elza Zaharah perlahan.
“Puan Zara, cuba tanya pada Encik Izack, kalau dia ada projek lagi untuk bagi pada kita. Setahun dapat dua projek jadilah,” kata Rita.
“Nanti saya tanya,” jawab Elza Zaharah. Namun sebenar, perkara itu tak mungkin mampu untuk dia lakukan.
“Kalau ada, tak mustahil dia akan bagi pada kita. Kita hias rumah dia macam kita hias rumah sendiri,” sampuk Salwa tersenyum. "Kalau kita kaya macam dia!"
Elza Zaharah mengangguk. “So, saya akan buat timeline dan pass pada awak petang ini. Sebaik duit masuk dalam akaun, kita proceed fasa pertama projek kita. At any time, dia akan visit banglo itu dan kita mesti boleh tunjukkan sedikit progress. Rita, please buat permohonan untuk masukkan line telefon, faks dan internet and also ASTRO.”
“No problem, boss,” jawab Rita. Wajahnya penuh semangat.

Comments (0)