“KEBABOOM, bro!!!” jerit satu suara di dalam telefon bimbit kuat menerjah ke pendengaran Hazry Mikail yang sedang tenang memacu motosikal. Sudahlah alat cabuk itu terpaksa diselitkan di antara telinga dan helmet yang terletak di kepala. Bingung otaknya seketika.
“Kuatnya
suara kau!” balas Hazry. Tinggi juga suaranya. Geram dia dengan jeritan si
teman. SMS ringkas yang dihantarnya dibalas pantas dengan panggilan.
Suara
di hujung talian sekadar ketawa. Semakin kuat. “Sorry! Sorry! Aku happy
sangat kau dapat kerja.”
“Alhamdulillah!”
balas Hazry semula. “Kita jumpa kat rumah. Kau tunggu aku. Buat air teh kurang
manis seteko!” Sempat dia menyuruh. Talian dimatikan. Telefon bimbit segera
dimasukkan dalam poket kemeja.
Hazry
terus sahaja memacu motosikal penuh hati-hati di dalam kawasan perumahan elit
itu. Maklumlah, motosikal pinjam. Motosikal itu milik Halim, si pemilik suara
yang juga teman serumah. Terpaksa dia meminjam kerana motosikalnya sendiri
masih lagi tersadai di bengkel.
“Minyak
motor kau tak payah isi, Hazry. Aku dah isi penuh!” Itu pesan Halim tadi. “Upah
bagi pinjam motor, kau belikan aku pisang goreng. Dua ringgit pun dah cukup.”
Maka,
gerai pisang gorenglah sasaran Hazry kini. Dia bercadang hendak membeli lebih.
Dapat juga dia berborak sekejap sambil makan bersama Halim pada penghujung hari
yang nyaman sementara menunggu maghrib menjengah. Jam sudah menunjukkan pukul
6.00 petang. Lega dia sebaik melihat sebuah gerai menjual pisang goreng tidak
jauh dari situ. Hanya sebuah kenderaan yang datang menyinggah.
“Mak cik,
pisang goreng empat ringgit!” pinta Hazry yang duduk bertenggek di atas motor.
Enjin motosikal sudah dimatikan.
“Tunggu sekejap
ya, nak…” sahut mak cik itu. Tangannya pantas memasukkan kepingan pisang goreng
ke dalam sebuah plastik kuning. Kemudian dia menterbalikkan kepingan pisang yang
masih berada di dalam kuali yang sederhana besar.
Sambil menunggu, Hazry memandang keliling. Ini
kali pertama dia menerjah ke Kinrara Heights, sebuah kawasan elit. ‘Untung mak
cik ni dapat buka gerai kat sini. Tentu lumayan kerana pelanggannya semua orang
senang,’ fikir Hazry. Dia memandang semula pada si penjual pisang goreng.
Berpeluh dahi menahan panasnya kuali yang penuh berisi minyak. Terdapat seorang
lelaki yang duduk merokok sambil menyandar di tiang belakang gerainya. Tidak
tua, tidak juga muda. Selamba sahaja wajahnya tanpa berhasrat mahu membantu
meringankan kerja.
Sempat juga dia mencuri pandang pada seorang
wanita yang berkebaya biru dan bertudung sedondon. Bercermin mata hitam dan
berkasut tinggi. Dia sabar menunggu pesanannya disiapkan.
“Jangan keluar, sayang. Duduk elok-elok dalam
kereta…” ucap wanita itu sambil menoleh ke arah keretanya. Kuat suaranya hingga
mampu Hazry dengar biarpun tubuhnya membelakangkan anak muda itu. “Panas lagi
pisang goreng ni. Sayang duduk dalam kereta aje ya. Mummy letak pisang goreng
ni kat belakang. Nanti, kita makan sama-sama…”
Kata-katanya dibiarkan Hazry. Entah dengan siapa
dia bercakap, Hazry tidak pasti. Mungkin anaknya kerana dia membahasakan
dirinya mummy. Patuh anaknya kerana tidak kedengaran pula sebarang suara
membantah. Hanya senyap di dalam kereta yang cermin sisinya diturunkan separuh.
Mata anak muda ini melekat pula pada kereta
milik wanita itu. Kereta sport dua pintu berwarna putih dan bercermin gelap
serta bernombor plat satu digit.
Setelah mendapat pesanannya, wanita itu masuk
semula ke dalam kereta dengan dua plastik besar berisi pisang goreng. Kenderaan
mewah itu terus sahaja meluncur pergi.
“Maaf, nak. Lambat…” ucap mak cik si penjual
pisang goreng. Tangannya lincah menyiapkan pesanan Hazry. Sebaik plastik diikat
rapi, dia menyerahkannya pada anak muda itu.
“Tak apa, mak cik,” jawab Hazry. Empat keping
not seringgit bertukar tangan. Sambil meletakkan plastik pisang goreng di dalam
bakul motosikalnya, sempat lagi Hazry memasang telinga.
“Manalah perempuan sakit jiwa tu nak pergi?”
soal lelaki yang duduk sambil menghembus asap rokok itu. “Beli pisang goreng
sampai 20 ringgit…”
“Ah! Adalah urusannya tu. Biarlah…” sahut si
penjual dengan nada malas. “Duit dia kan dah jadi rezeki kita. Patutnya kita
bersyukur.”
‘Perempuan sakit jiwa? Bertudung litup seperti
itu dituduh sakit jiwa?’ Sempat juga Hazry menyoal diri sendiri. ‘Dunia!
Dunia!’
HALIM tersenyum lebar
apabila melihat Hazry muncul di laman. Rumah setinggan di Kinrara itu baru
sahaja dihuni Hazry. Dulu Halim menyewa dengan teman yang lain. Bila temannya
itu sudah berkahwin, Hazry pula yang menggantikan. “Bila
mula kerja?” soal Halim.
“Alhamdulillah... Minggu depan, aku mula kerja
kat sana…” jawab Hazry tenang.
“Minggu depan? Baguslah. Tak perlu kau pindah.
Duduk aje kat sini,” Halim mula mengayat. Lega dia kerana tempat kerja baharu
Hazry terletak di Kinrara Heights. Tidak jauh dari rumah sewa mereka.
“Ha’ah... Aku kena standby 24 jam. Bos
aku sediakan kuarters, tapi segan pulak aku. Jiran-jiran semuanya perempuan…”
“Kuarters? Percuma?” soal Halim kerisauan.
Bimbang hilang rakan penyewa.
Hazry mengangguk.
Topi keledarnya diletakkan di atas meja. Plastik pisang goreng pun sama. “Satu
untuk lelaki. Satu untuk perempuan,” beritahunya tenang. Air teh di dalam teko dituangkan ke dalam cawan. Pinggan
plastik kosong turut diambil dari rak pinggan tepi singki.
“Eh! Kau ni dapat kerja apa? Siap kena standby
bagai…” Berkerut dahi Halim.
“Driverlah…
Takkan aku jadi tukang masak pulak. Kerja aku memang kena standby 24 jam
sehari, tujuh hari seminggu. Sebab itu, bos aku sediakan kuarters. Kuarters
untuk lelaki masih kosong. Aku dapat bilik siap dengan bilik mandi. Tapi, kena
tinggal seorang. Pembantu perempuan semua duduk kuarters sebelah. Malulah aku
berjiran dengan perempuan…” Terbayang di mata Hazry rumah agam Haji Umar.
“Lega aku sebab kau tetap nak tinggal kat sini.”
Tersenyum senang Halim. “Kau ni memang segak jadi driver. Lebih segak
kalau jadi bodyguard. Tapi, kalau kau jadi tukang masak pun bagus juga.
Setiap malam kau boleh bawa balik baki makanan. Jimat belanja dapur kita…”
Hazry ketawa. Halim tetap Halim. Kuat makan,
patutlah badannya montel. Enam bulan lepas, dia datang ke Kinrara untuk bekerja
sebagai pemandu sementara bagi pengurus kilang plastik, Mr. Chong namanya.
Secara kebetulan, di situlah tempat Halim bekerja sebagai penjaga stor. Pemandu
sedia ada Mr. Chong mendapat cuti sakit yang agak lama. Sebaik pemandu asal
menyambung tugas, kontrak Hazry tidak diperbaharui. Namun dia bersyukur.
Pertemuan dengan pak andaknya di Hotel Istana dua minggu lepas, rupanya membuka
pintu rezeki. Ketika itu, Hazry menghantar Mr. Chong bermesyuarat di sana. Pak
andaknya juga merupakan seorang pemandu. Dia sudah berusia lebih setengah abad
dan hampir bersara. Majikannya pula sedang mencari pengganti.
“Motor kapcai kau bila siap?” soal Halim.
“Esok petang,” beritahu Hazry. “Jangan lupa,
tolong beri Baby aku makan setiap petang kalau aku balik lambat…”
Halim mengangguk lagi. Hazry ibarat bapa kucing.
Selalu beri makanan pada kucing di kedai makan. Ada seekor yang cukup bertuah.
Baby namanya. Serba putih bulunya. Hazry jumpa di tepi jalan ketika pulang dari
surau.
“Rehatlah dulu seminggu ni. Patut-patut cari mak
we, kau cari. Nanti dah kerja, kau busy. Kau tu dah tua. Takut jadi BT
nanti…” Ada riak lawak di wajah si Halim.
“BT?” soal Hazry semula. Lurus gaya orang
kampung.
“Bujang terlajak…”
Hazry tertawa. “Sampai hati punya member…” Dia
tahu Halim bergurau sahaja. Halim lebih muda daripadanya. Sebab itu, dia
menganggap Halim ibarat adik. Dalam tawa, Hazry teringat kata arwah ayahnya.
Arwah juga pernah bimbangkan dia akan menjadi bujang terlajak. Tua sangatkah
dia? Tahun ini dia baru masuk 30 tahun.
Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! mula berada di pasaran pada OGOS 2014.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
6/18/2014 08:32:00 pm |
Category:
Naskah 2: SABD! - Bab 01
|
0
comments
Comments (0)