Haji Umar memandang tepat ke mata anak muda di hadapannya. Sudah seminggu
nama Hazry Mikail bin Abdullah menjadi sebutan. Hanya kini baru mereka bersua
empat mata. Hilal, anak kedua Haji Umar yang menemuduga Hazry minggu lepas.
Haji Umar tiada di rumah ketika itu, dia terpaksa ke Johor Bahru kerana
bermesyuarat.
Puas membelek Hazry, Haji Umar memandang pula
Haji Zaini yang duduk di sebelahnya. Orang tua itu hanya tersenyum manis.
“Betul kamu sanggup kerja dengan saya, Hazry?” soal Haji Umar serius. Matanya
meneliti semula setiap inci raut wajah anak saudara Haji Zaini.
Anak muda itu mengangguk.
“Zaini, awak dah beritahu semua syaratnya?” soal
Haji Umar lagi.
Giliran Haji Zaini pula mengangguk.
“Hani Mariya anak kesayangan saya. Saya tidak
mahu sebarang masalah berlaku yang buat dia lari daripada saya lagi.” Perlahan
suara Haji Umar. “Dia tidak mampu untuk memandu sendiri dengan baik. Sebab itu
kamu harus menghantarnya ke mana juga dia nak pergi.”
“Insya-ALLAH, saya akan berkhidmat sebaik
mungkin untuk Puan Hani Mariya.”
“Kamu panggil dia Puan HM!” arah Haji Umar.
Serius!
Kepala anak muda itu terangguk-angguk pantas
kali ini. Silap dia, Haji Zaini sudah memaklumkan semua perkara the do and
the don’t untuk bekerja dengan Hani Mariya, anak perempuan tunggal yang
juga anak bongsu Haji Umar. Sebab itu, dia menjadi anak kesayangan. Haji Umar
merupakan arkitek terkenal yang memiliki firma sendiri, Kumpulan Attap Emas.
Kini, firma itu diuruskan oleh anak sulungnya, Hafidz.
Sejak bersara, Haji Umar hanya bekerja di rumah.
Sebagai Pengerusi Attap Emas, dia hanya ke pejabat jika ada keperluan. Umurnya
sudah mencecah 60 tahun. Masanya banyak dihabiskan dengan bermain golf dengan
rakan-rakan perniagaan atau ke masjid untuk melengkapkan ilmu agama.
“Kamu boleh panaskan enjin kereta. Sekejap lagi
dia akan keluar dari rumahnya…” arah Haji Umar lagi. Serius wajahnya pagi ini.
Hazry sudah melakukan kesilapan pertama. Salah menyebut nama panggilan Hani
Mariya. Kebimbangan mula melingkari hati tuanya.
Hazry bingkas bangun. Dia menyalami Haji Zaini.
Tangan orang tua itu diciumnya tanda hormat. Selepas itu, tangan Haji Umar pula
diraih. Perlakuan yang sama dibuat, satu rutin peribadi Hazry bila berjumpa dan
berpamitan dengan orang-orang tua.
Langkah tegap anak muda yang berseragam serba
hitam itu diperhatikan Haji Umar dan Haji Zaini.
“Tuan, jangan risau. Saya pasti Hazry mampu…”
kata Haji Zaini penuh yakin.
Haji Umar mengangguk perlahan. Diperhatikan riak
wajah rakan masjidnya. Jauh di lubuk hatinya, dia ingin mengiakan, tetapi dia
belum berani. Tunggulah hingga dia bertemu Hazry tengah hari nanti.
Haji Zaini merupakan pemandu Haji Umar merangkap
pemandu Hani Mariya. Namun, itu setakat semalam. Hari ini, secara rasminya Haji
Zaini bersara. Sudah masuk 55 tahun usianya. Maka, rakan masjid adalah istilah
hubungan rasmi antara mereka berdua.
HAZRY menghampiri kereta BMW 7 Series
berwarna hitam berkilat. Tersenyum dia melihat betapa berkilatnya kereta mewah
itu. Dia yang mengelapnya awal pagi tadi. Haji Zaini yang menunjukkan caranya.
Ah! Bukannya dia tidak tahu cara untuk mengilatkan sebuah kereta. Tetapi,
menghormati Haji Zaini yang beria-ia menunjukkan kaedah yang paling cepat dan
mudah, dia ikutkan sahaja.
“Kereta ini lambang maruah kerja kita…” Itu
pesan Haji Zaini. “Kereta berkilat, bersih dan wangi. Penumpang selamat dan
selesa hingga sampai ke destinasi.”
Pintu dibuka lantas enjin dihidupkan. Penghawa
dingin pula ditekan. Cakera padat juga dimainkan. Kedengaran irama petikan
piano yang Hazry tidak tahu lagu apa. Ikutkan sahaja sebagaimana pesanan Haji
Zaini. Semua ciri keselamatan perlu diambil kira. Dia tahu kereta ini baru
diservis semalam. Tempat duduk pemandu disesuaikan dengan tubuhnya yang lebih
tinggi dan besar dari Haji Zaini. Berkali-kali dia memandang ke hadapan,
menjeling cermin pandang belakang dan cermin-cermin sisi hingga dia berpuas
hati.
Kemudian, Hazry menapak keluar semula. Dia
berdiri di pintu penumpang di sebelah kiri. Menanti kehadiran wanita yang bunyi
tapak kasutnya sudah mampu didengari. Biarpun, susuk tubuh wanita itu belum
muncul di hadapannya lagi.
‘Subhanallah!’ ucap Hazry di dalam hati sebaik
sekilas terpandang Hani Mariya buat pertama kali. ‘Ya ALLAH! Cantiknya
makhluk-MU ini…’
Wanita berambut lurus lembut dan berkebaya labuh
itu melangkah yakin ke arah kenderaan yang sudah menunggu. Di tangan kanannya
terdapat sebuah beg tangan berwarna hijau pucuk pisang, serona dengan kasut
tinggi yang tersarung di kaki.
“Assalamualaikum, Puan Hech err… Em…” ucap Hazry
sedikit tergagap. Merah mukanya menahan malu. Kesilapan kedua! Kedua-duanya
berkaitan nama anak majikannya. Aduh!
Pintu segera dibuka.
“Waalaikumussalam.” Lembut suara wanita itu.
“Hana, masuk cepat. Kita dah lambat ni…”
Bulat mata Hazry mendengar. Maklumlah kali
pertama dia mendengar wanita itu berkata-kata. ‘Lembutnya suara dia.’ Hatinya
memuji lagi.
“Okey, mummy…”
Tersenyum Hani Mariya melihat anak kecil yang
berwajah ceria pagi ini. Layang-layang kertas di tangan Hana Maisarah
diperhatikan. Wajahnya lega sebaik duduk di dalam kenderaan dengan selesa. Rasa
dingin seperti yang dia suka. “Duduk elok-elok, Hana…” Lembut suara Hani Mariya
menasihatkan.
“Baik, mummy…” Mendengar jawapan anaknya, Hani
Mariya tersenyum. “Siapa tu, mummy?”
Hani Mariya memandang tangan mungil Hana
Maisarah yang tepat menunjuk ke arah lelaki yang berpakaian seragam serba hitam
yang berjalan di sisi kenderaan mereka.
“Driver baru,” bisik Hani Mariya. “Mummy
tak ingat nama dia. Semalam atuk dah beritahu. Tapi, mummy terlupa…”
Menggeleng Hani Mariya melihat Hana Maisarah
yang pantas meletakkan jari telunjuk ke bibir. Nakal gayanya. Lelaki berbaju
seragam hitam tadi sudah membuka pintu pemandu.
Sebaik duduk di kerusi pemandu dan memasang tali
pinggang keselamatan, Hazry menadah tangan. Doa memulakan perjalanan dibacakan.
Kedengaran suara halus Hani Mariya mengaminkan. Selesai doa dibaca, kenderaan
mula bergerak meninggalkan ruang hadapan rumah satu tingkat di mana Hani Mariya
tinggal. Kini kenderaan itu melewati pula sisi tepi rumah agam Haji Umar.
Hani Mariya menurunkan cermin pintunya. “Bye,
pa,” ucapnya sambil melambaikan tangan pada Haji Umar yang sedang minum di
gazebo. “Bye, Pak Ni. Selamat bersara…” Tersenyum dia melihat Hana
Maisarah yang turut menjerit sama. “Bye, atuk. Bye, Tok Ni.”
Haji Umar dan Haji Zaini membalas senyuman dan
lambaian Hani Mariya.
Hazry turut menoleh. Sekilas, matanya dan mata
Haji Zaini saling berpandangan. ‘Tenang, Hazry!’ Bagai terasa itu nasihat mata
tua pak andak pada dirinya.
“Bersara? Apa tu?”
Hani Mariya ketawa mendengar soalan Hana
Maisarah. Kening Hana Maisarah disentuhnya perlahan. “Bersara maksudnya sudah
tidak bekerja kerana usia sudah tua. Atuk sudah tua. Atuk Ni pun macam tu…”
Perlahan dia menerangkan pada anak kecil yang bergaun panjang merah hati yang
duduk di sisinya.
“Atuk dan Atuk Ni tak perlu kerja?”
Wajah Hana Maisarah diperhatikan Hani Mariya dengan
penuh kasih sayang. Ikatan tocang rambut anak itu diperbetulkan. “Tak! Mereka
boleh rehat. Pergi main golf dan pergi masjid…” jawabnya lagi. Selepas itu, dia
menyandar tenang. Susuk tubuh pemandu baharunya diperhatikan. ‘Anak saudara Pak
Ni macam Pak Ni juga,’ kata hati kecilnya. ‘Tenang semasa memandu.’
Kenderaan mewah itu sudah menjalar masuk ke
Lebuh Raya KESAS. Mereka menuju ke USJ untuk ke Sekolah Rendah Seri Mutiara,
antara sekolah swasta yang terkenal di Malaysia.
Hani Mariya terus membelek jadualnya di iPad.
Sambil itu, dia mengerling Hana Maisarah yang ceria berlagak seperti orang
bermain piano mengikut nada muzik yang kedengaran di telinga.
“Belajar baik-baik. Jangan nakal-nakal di
sekolah. Mummy tak mahu Hana kena marah dengan Cikgu Syarifah macam semalam…”
nasihat Hani Mariya pada Hana Maisarah. Ketawa kecil dia melihat Hana Maisarah
yang hanya tersenyum nakal. “Kalau Hana nakal juga, mummy tak izin Hana ke
rumah Pak Long Hafidz Ahad ni. Tak boleh makan kek birthday Haziq
nanti.”
“Hana tak nakal. Hana budak baiklah, mummy…”
“Hmm… Mummy macam tak percaya aje,” sahut Hani
Mariya setelah mendengar jawapan anak kecil itu.
“Mummy tengoklah nanti…”
“Okey, mummy tengok nanti…” jawabnya lantas dia
memejamkan mata sambil menghayati bunyi alunan piano yang asyik dan mendamaikan
jiwa sukmanya.
SEBAIK kenderaan berhenti di perkarangan
Sekolah Rendah Seri Mutiara, Hazry segera keluar. Pintu Hani Mariya dibukanya.
Sementara Hani Mariya turun, beg sekolah Hana Maisarah diambil dari bonet
belakang lalu diserah pada si bos.
Mata Hazry memandang keliling. Bertali arus
murid-murid yang berpakaian seragam merah hati berjalan pantas melewati mereka.
Semua berkejaran mahu segera ke kelas masing-masing. “Selamat belajar, Hana,”
ucapnya perlahan. Entah mengapa, dia merasa serba salah. Namun, wajahnya
sengaja dibuat-buat biasa.
Hani Mariya tersenyum memandang pemandu
baharunya. Senyumannya lebih lebar kerana terasa Hana Maisarah sudah menarik
tangannya. Dia tahu anak itu mahu segera ke kelas.
“Saya hantar Hana dulu…” ucap Hani Mariya.
Hazry mengangguk. Dia sudah dimaklumkan oleh
Haji Zaini tentang rutin ini. Hani Mariya gemar menghantar Hana Maisarah ke
pintu kelas. Dia lebih suka menyerahkan anaknya dan semua keperluan
persekolahan anak itu pada cikgu kelas 1 Mawar, Puan Syarifah. Haji Zaini
berkata, Hani Mariya akan berasa senang hati sepanjang hari jika rutin pagi itu
dilaksanakan dengan sempurna. Jika tidak, keluarlah belang luar biasa Hani
Mariya. Tiada siapa berani menjangka.
Hazry memandang Hani Mariya melangkah riang
masuk ke dalam bangunan. Tiada sebarang reaksi kecuali dahinya yang berkerut.
Tidak tahu apa yang harus difikirkan.
“Hani Mariya baik orangnya.” Hazry masih
mengingati apa yang Haji Zaini katakan tiga hari lepas. “Cuma dia sangat
sensitif setiap kali orang kacau hal dia dengan Hana. Kalau pasal Hana, kamu
ikutkan aje. Jangan berani kacau.”
“Hana tu siapa?” soal Hazry. Serius dia ingin
memahami anak bakal majikannya. Ketika itu, dia menziarahi rumah Haji Zaini di
Kampung Nakhoda.
“Hana anak tunggal Hani. Cukup kalau kamu mampu
hormati keperluan dan kehendaknya.”
Hazry ingin membuka mulut untuk bertanya soalan
lebih.
“Alah! Kamu ikut ajelah nasihat pak andak kamu
ni.” Haji Zaini mencantas. “Senang hidup. Gaji kamu boleh tahan. Dapat
macam-macam kelebihan dari syarikat Haji Umar. Kalau sesuai, kamu kerja lama.
Kalau tak, kamu berhenti cara baik. Satu kamu kena ingat, hal keluarga Haji
Umar jangan berani kamu jaja pada sesiapa. Hal Hani anak beranak dah cukup buat
Haji Umar sekeluarga pening kepala. Jangan kamu tambah pulak dengan masalah
yang entah apa-apa…”
PUTUS khayalan Hazry sebaik Hani Mariya
muncul semula. Segera dia membukakan pintu. Sama seperti pagi tadi, penuh
tertib dan hati-hati. Jangan tersalah laku atau tersalah cakap. Semua itu akan
mengundang padah!
“Hantarkan saya terus ke galeri…” suruh Hani
Mariya sebaik kenderaan bergerak.
“Baik, puan.”
Seketika kemudian, Hazry terganggu dengan bunyi
yang didengarnya. Bunyi rungutan kecil yang terletus dari bibir merah milik
Hani Mariya. Wanita itu sibuk mencari sesuatu di dalam beg tangannya.
Gaya kalut Hani Mariya buat Hazry terlalu ingin
tahu. ‘Jangan kau pandai-pandai, Hazry!’ Akal Hazry memberi arahan.
Sekilas pandang semula, Hani Mariya sudah
menyandar dengan tenang. Kaca mata hitam penuh bergaya sudah dipakainya.
‘Cari kaca mata hitam rupanya.’ Lega hati Hazry.
“Nama awak Hazry, kan?” soal Hani Mariya setelah
lama dia berdiam diri. Sisi wajah pemandunya diperhatikan.
Hazry mengangguk. “Ya, Puan Hecem…”
Hani Mariya ketawa kecil. “H! M!” tegurnya.
“Bukan Hecem!”
Hazry cuak. Sempat dia mengerling ke dalam
cermin. Wajah anak majikannya diperhatikan. “Ya, Puan HM!” Pantas dia menjawab
dengan sebutan H dan M seperti yang Hani Mariya mahu. Lega dia kerana wanita
itu tidak marah. Betullah kata Haji Zaini, jika rutin paginya berjalan
sempurna, mood wanita itu akan ceria sepanjang hari.
“Sebelum ni awak kerja apa?” soal Hani Mariya.
“Saya kerja macam-macam, puan,” jawab Hazry.
“Macam apa?” soal Hani Mariya lagi. Berkerut
dahinya. Wajah Hazry sudah menunjukkan kematangan. Namun, tidak dapat diagak
apa-apa berkenaan personaliti lelaki tersebut.
Hazry segera tersenyum. Dia tahu maksud reaksi
di wajah Hani Mariya. “Saya jadi driver lepas SPM. Driver lori
hantar barang. Dari lori kecik sampai lori besar. Tapi, terpaksa berhenti sebab
jaga ibu dan ayah yang dah uzur sangat. Sambil tu saya kerja kampung.
Bila mereka dah meninggal, saya bawa teksi
pulak. Pinjam teksi orang… Tiba-tiba, tuannya minta teksi dipulangkan.
Kemudian, saya datang KL sebab dapat kerja jadi driver sementara Mr.
Chong, tauke kilang plastik kat Jalan Klang Lama. Dua minggu lepas, Haji Zaini
tanya saya nak kerja dengan tuan besar tak, saya terus setuju.” Lancar sahaja
lidahnya bercerita.
Hani Mariya mengangguk. Dalam diam dia menyimpan
senyum. Papanya dipanggil tuan besar. Kalau papa tahu, mesti papa tak senang
hati. “Papa saya bukan tuan besar, Hazry. Panggil papa saya, tuan haji. Itu dah
cukup…”
Hazry mengangguk. “Baik, Puan HM!”
Hani Mariya membuka beg tangannya pula.
Dikeluarkan telefon pintar. Pembantu peribadinya segera dihubungi. Aplikasi
speaker phone disentuh.
“Jehan, saya tak sempat sarapan pagi ni. Belikan
saya nasi lemak daun pisang…” pinta Hani Mariya sebaik panggilannya berjawab.
“Puan okey tak?” soal Jehan.
“Saya okey. Tapi, Hana meragam tak mahu tidur
malam tadi. Kami tidur lewat. Jadi, bangun pun lewat.”
“Berapa bungkus, puan?”
Hani Mariya memandang pada Hazry, dia menjauhkan
telefon dari bibir, “Hazry dah sarapan?”
“Sudah, Puan HM!” jawab Hazry.
“Err… Jehan, awak sarapan dengan saya. Kita
berdua aje. Hazry dah makan…” Hani Mariya menyambung bicara dengan Jehan di
hujung talian.
“Baik, puan!” Jelas dan terang suara Jehan
kedengaran di dalam kenderaan mewah yang kini menuju ke The Zero, pusat
membeli-belah di Damansara Astraea.
Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! mula berada di pasaran pada OGOS 2014.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! mula berada di pasaran pada OGOS 2014.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
6/22/2014 01:50:00 pm |
Category:
Naskah 2: SABD! - Bab 02
|
0
comments
Comments (0)