TIBA di perkarangan utama The Zero, Hazry
memberhentikan kenderaan di pintu utama pusat membeli-belah yang masih sunyi
tanpa pengunjung. Hanya mereka yang bekerja di dalam bangunan pejabat
berdekatan sahaja yang sesekali lalu di situ. Pekerja valet terus sahaja
mendekati. Hazry turun dan segera menyerahkan kunci. Kemudian, dia berjalan
menuju ke bonet belakang. Hani Mariya sudah menunggunya.
“Hati-hati bawa lukisan suami saya…” pinta Hani
Mariya.
Hazry mengangguk. Dia mengangkat kanvas lukisan
yang berbalut dengan kertas putih dengan penuh hati-hati. Kanvas yang terlekat
pada bingkainya itu tidaklah berat. Berat lagi dumb bell yang
diangkatnya 100 kali setiap selepas subuh. Dituruti langkah lembut Hani Mariya
dari belakang.
Mereka melewati beberapa buah kedai yang masih
bergelap. Mereka menaiki lif untuk ke tingkat paling atas. Sebaik pintu lif
terbuka. Bulat mata Hazry melihat apa yang berada di hadapannya. Galeri Seni
HM. Biarpun hanya dengan lampu yang samar-samar, lelaki ini sudah cukup
terpesona dengan tata rias hadapan galeri tersebut.
Seorang wanita berkemeja putih dan berskirt
hitam paras lutut membukakan pintu kaca yang dikunci dari dalam. Panel kayu
berwarna hitam berkilat membuat pintu masuk berkaca itu nampak eksklusif.
“Selamat pagi, Puan HM,” ucap wanita itu.
“Pagi, Jehan!” Hani Mariya tersenyum. “Dah beli
nasi lemak untuk saya?”
“Sudah! Kopi O panas juga saya dah sediakan di
pantri,” jawab Jehan lagi.
Menyedari Hazry yang masih belum melangkah
masuk, Hani Mariya menjengah keluar. Lelaki itu berdiri tegak merenung satu
antara tiga buah lukisan abstrak yang terpamer di dalam ruang pempamer yang
serba hitam. Hanya lukisan-lukisan itu yang boleh dilihat dari luar. Ada sebuah
lampu simbah yang menerangi setiap lukisan tersebut.
Hazry merenung lukisan pada bingkai yang paling
besar. Berbingkai kayu berona emas yang amat eksklusif. HM! Itu yang terlakar
di hujung kanan sebelah bawah kanvas. Terdapat tag yang tertulis ‘Cinta Tak
Terucap’.
“HM…” sebut Hazry perlahan. “Hmm… Hani Mariya…”
Itu yang terpacul di bibir berkumisnya.
“Hans Muneef!” sahut Hani Mariya membetulkan
fakta.
Terkejut Hazry. Tidak sedar yang wanita itu kini
sudah berdiri dekat dengannya. Hanya terkebelakang sedikit sahaja.
“Itu nama suami saya...” Tenang sahaja wajah
Hani Mariya. “Galeri ini, jiwanya milik suami saya. Ini koleksi dia yang paling
saya sayang.”
“Cinta Tak Terucap… err… Cintanya penuh mesra,”
ucap Hazry tanpa diminta.
Hani Mariya mengangkat kening. Lebar
senyumannya. “Itu juga yang saya rasa, Hazry…”
Hazry melangkah ke lukisan yang tergantung di
sebelah. Masih abstrak. Kecil sedikit saiznya. Namun, berbeza perasaan ketika
menelitinya. ‘Cinta Tak Terucap II’. Lakaran HM II terdapat di hujung lukisan.
“Ini… err… lukisan puan?” soalnya ingin kepastian.
Hani Mariya mengangguk.
“Cinta puan terlalu sarat…”
“Sarat?!” soal Hani Mariya. Berkerut dahinya.
Hazry mengangguk. Yakin dengan pendapatnya. Tiba-tiba
dia tersedar, dia sudah terlepas kata. Hani Mariya mungkin terasa hati dengan
apa yang dilafazkannya.
“Sarat dengan apa?” soal Hani Mariya. Serius
wajahnya mahu tahu apa di dalam fikiran lelaki berwajah bersih di sisi.
“Err…” Hazry kehilangan kata-kata.
“Tak apa… saya nak tahu. Tiada siapa yang berani
beri komen lukisan saya seperti awak.”
“Err… saya cuma cakap aje. Tiada apa-apa makna…”
dalih Hazry.
“Cakaplah, Hazry! Itu yang saya nak dengar,”
pinta Hani Mariya. “Sarat dengan apa?”
“Err… dengan macam-macam rasa. Lukisan ini
melambangkan cinta sarat yang keliru…” Perlahan suara Hazry menuturkannya.
Bimbang dengan kesan yang bakal berlaku.
“Awak mampu baca perasaan saya, Hazry…” ucap
Hani Mariya. Dia menolak tubuh Hazry ke arah lukisan yang paling hujung. “Ini?
Apa maksud lukisan ini?”
Hazry mula serba salah. Sentuhan Hani Mariya
buat dadanya berdebar. Bukan biasa dia disentuh wanita. Apatah lagi itu isteri
orang.
‘Cinta Tak Terucap – Edisi Khas.’ Itu yang
tercatat pada tag lukisan.
“Apa makna lukisan ini?” soal Hani Mariya. Riak
tidak sabar terpamer di wajahnya.
Hazry menggeleng. Entah mengapa fikirannya gagal
menumpu. Genggaman tangan Hani Mariya yang erat pada lengannya buat dia begitu.
“Kenapa?” soal Hani Mariya tidak berpuas hati.
“Puan… err… puan pegang lengan saya,” ucap Hazry
dengan suara memberat.
Bulat mata Hani Mariya. Darah menyerbu ke muka
serta merta. Genggaman dilepaskan. Dia segera melangkah masuk ke dalam. Hazry
ditinggalkan sendirian.
STATIK! Hazry berdiri tegak dan kaku selama
beberapa detik. Hanya suasana dalam galeri yang tiba-tiba cerah buat dia tersedar
di mana dia berada. Perlahan dia berjalan ke pintu masuk. Dari tempat dia
berdiri, dia mampu nampak apa yang terhidang di hadapan mata. Rasa kagum
menjengah di hati Hazry. Dia melangkah lagi sambil matanya tunak memerhati
koleksi lukisan yang terpamer. “Subhanallah!”
“Kenapa? Cantik?” soal Jehan. Tersenyum dia
melihat gelagat Hazry yang pertama kali ditemuinya. Biarpun Hani Mariya tidak memperkenalkan
lelaki itu kepadanya, dia sudah tahu nama pemandu baharu majikannya. Setiausaha
CEO Attap Emas telah memaklumkan padanya.
Mendengar soalan Jehan, Hazry mengangguk. “Amazing!”
Berkerut dahi Jehan. Biar benar! Mamat driver
ni speaking. “Awak suka?” soalnya lagi.
“Alhamdulillah! Saya suka…” jawab lelaki itu.
Debar di dada mereda. Tenggelam dia dengan apa yang ada di hadapan mata.
“Saya Nur Jehan. PA Puan HM. Awak boleh panggil
saya Jehan…”
“Saya Hazry…” Kanvas lukisan di tangan Hazry
bertukar tangan. Pantas Jehan menghantarnya ke dalam bilik stor.
“Awak tahu tugas awak hingga jam 10.00 pagi?”
soal Jehan yang sudah muncul semula.
Hazry mengangguk. Dia perlu jadi pengawal
keselamatan sehingga Jasni, pembantu lelaki Hani Mariya yang seorang lagi masuk
kerja. Selama ini, itu antara tugas Haji Zaini. Haji Umar tidak mahu anak
perempuannya bersendirian tanpa pengawasan seorang lelaki yang dikenali biar
hanya memerhati dari jauh. Dia tidak mahu anaknya ‘lari’ lagi. Itu alasan yang
diberitahu pada Hazry.
“Saya temankan bos sarapan…” beritahu Jehan.
Hazry mengangguk. Namun, rasa bersalahnya
kembali melingkari hati. “Cik Jehan, saya bimbang Puan HM marah pada saya…”
“Kenapa?”
Hazry serba salah untuk bercerita. Takkan dia
nak beritahu yang dia menegur Hani Mariya yang menyentuh lengannya. Dia
menganggap wanita itu tidak sengaja melakukannya.
“Ah! Awak boleh minta maaf. Bos okey…” sahut
Jehan tidak mahu menunggu. Dia nampak gaya Hani Mariya yang tergesa-gesa
berjalan masuk tadi. Itu bukan gaya Hani Mariya yang sedang marah. Cuma dia
tidak tahu apa. Makna wajah Hani Mariya tidak dapat dibaca. Reaksi seperti itu
tidak pernah berlaku.
Tanpa menunggu jawapan daripada Hazry, Jehan
berjalan menuju ke pantri. Hani Mariya tiada di sana. Berkerut dahinya. Dia
menjengah ke pejabat bosnya, kosong! Dia berjalan ke pintu menuju ke patio di
tepi galeri, Hani Mariya sudah berada di situ. Sudah bertukar pakaian, hanya
berblaus dan slack kain kapas lengkap berapron. Rambutnya sudah disanggulkan.
Dia sedang asyik melarikan berus cat minyak di atas kanvas di hadapannya. Saat
itu, Jehan tahu, nasi lemak dan kopi O yang disediakan tidak akan berusik.
HAZRY berdiri tegak di pintu kaca sebelah
dalam. Dia hanya memandang keluar. Menyesal dia tidak pernah bertanya pada pak
andaknya, apakah yang harus dilakukan sepanjang tempoh dua jam berada di
galeri.
Hendak beria berkawal, pintu kaca sudah dikunci
semula dari dalam oleh Jehan. Hendak bersantai membelek lukisan yang ada, dia
rasa tak patut pula sedangkan itu yang terlalu mahu dibuatnya. Hendak duduk
membaca akhbar di kaunter, terasa setaraf pula seperti pengawal keselamatan di
kaunter informasi The Zero di tingkat bawah tadi.
Orang yang lalu di hadapan galeri semakin ramai.
Namun, mereka bukanlah pengunjung kerana waktu perniagaan belum bermula.
Memandang pada pakaian yang tersarung di badan, Hazry yakin mereka adalah
pekerja gedung membeli-belah terkenal yang terletak pada tingkat yang sama.
Hanya pada sayap yang berbeza.
“Kopi?” pelawa Jehan sambil menghulurkan sebuah mug
berwarna putih.
Hazry menyambutnya. “Terima kasih, Cik Jehan.”
Jam baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Ada satu setengah jam lagi untuk dia
perlu berada di situ. “Puan HM masih melukis?”
Jehan mengangguk.
“Err… Puan memang macam tu?” Gusar hati Hazry
pada bos yang belum begitu dikenali.
Jehan menggeleng. “Itu kali pertama setelah
hampir dua tahun…” Ternaik kening gadis yang sudah bekerja hampir lima tahun di
Galeri Seni HM.
‘Sudah! Mati aku,’ bisik akal Hazry. Kebimbangan
menjengah hati. Entah mengapa Hazry terasa seperti dia yang menjadi
penyebabnya.
“Saya nak minta awak tolong…” kata Jehan
perlahan.
Hazry memandang wanita itu serius. “Tolong?
Tolong apa?”
“Cahaya matahari dah mula membahang. Awak tolong
pegangkan payung ni untuk Puan HM…” pinta Jehan. Sekaki payung diunjukkan.
“Saya?!” Kalut Hazry bertanya.
Jehan mengangguk. “Nanti Jasni sampai, dia akan
ganti awak…”
Giliran Hazry pula terpaksa mengangguk. Apa
pilihan yang dia ada? Payung sederhana besar bertukar tangan. Perlahan dia
berjalan menuju ke arah tepi galeri. Dia keluar melalui pintu. Ruangan terbuka
luas itu memang menambat hatinya serta merta. Di hadapannya, berceracak
bangunan besar dan kecil berlatar belakangkan awan yang membiru. Angin bertiup
sepoi-sepoi bahasa. Betul kata Jehan, cahaya mentari pagi memang mula
membahang.
Peliknya, Hani Mariya tetap tekun menghadap
kanvas. Hazry mendekati. Payung dibuka. Diangkat tinggi tangannya lalu
dipayungkan wanita itu.
Satu saat menjadi sepuluh saat dan minit-minit pun berlalu, tiada reaksi dari Hani Mariya biarpun bahang mentari kian menyengat. Juga tiada ucapan terima kasih. Jauh sekali kemesraannya seperti awal pagi tadi. Hingga Jasni tiba lalu mengambil tempat, mulut Hani Mariya tetap terkunci rapi. Hati Hazry Mikail pula rasa berdebar tak henti.
Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! mula berada di pasaran pada OGOS 2014.
Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya
6/29/2014 04:07:00 pm |
Category:
Naskah 2: SABD! - Bab 03
|
0
comments
Comments (0)