Sayang!” jerit Hani Mariya sebaik membuka pintu rumah kediamannya. Sejuk, sunyi dan sepi! Dia mula berlari pantas mencari Hans Muneef. Tersenyum dia melihat suaminya yang sedang khusyuk bersolat di bilik tidur mereka. Maklumlah, maghrib sudah menjengah.
Pantas dia keluar semula. Pintu bilik Hana Maisarah pula dibuka. “Hana! Cepat mandi. Pakai baju tidur terus,” arahnya. Masa tidak boleh dibazirkan. Anaknya perlu rehat. “Mummy nak mandi ni…”
“Mummy, Hana ada banyak kerja sekolah...”
Hani Mariya tersenyum. “Hana siapkan lepas mandi dan solat ya. Nanti mummy datang semak. Jam 10.00 malam kita supper sama-sama.”
Pintu bilik Hana Maisarah ditutup. Hani Mariya kembali ke biliknya semula. Tersenyum dia melihat Hans Muneef yang sudah siap bersolat. “Sayang, I miss you…” ucapnya. Panjang dan manja meleret bunyi suaranya. Dia mendekati si suami lalu membongkokkan tubuh untuk memeluk lelaki itu. Bahagia dia melihat Hans Muneef tersenyum.
I miss you too, girl. Pergi mandi ya…”
“Hani dah tak wangi ya?” usik Hani Mariya. Tertawa dia melihat suaminya yang tertawa sama. “Hani ke Bagan Lalang tadi. Piknik dengan Hana…”
“Kat sana tak hujan ke? Kat sini hujan tadi…”
Hani Mariya tersenyum. Dia duduk di birai katil. Dia melihat Hans Muneef mendekatinya. “Mendung. Itu yang tak boleh lama kat sana… Tapi, dalam perjalanan balik memang hujan dah turun. Sebab tu kami sampai lambat!”
“Macam mana hari ini, Hani? Galeri kita okey?”
Melihat tangan Hans Muneef memberi isyarat agar Hani Mariya meletakkan kaki kanan di atas pehanya, si isteri tertawa manja. Lega dia kerana kakinya ada yang sudi mengurut. Sambil itu blaus putih dibuka butangnya satu per satu. “Hmm… Alhamdulillah! Hari ini ada tiga buah lukisan yang kita let go. Akaun kita okey. Abang jangan bimbang…”
“Abang bimbang, sayang. Sayang kerja seorang. Abang hanya duduk di rumah.”
Perlahan Hani Mariya mengangkat kaki lalu diletakkan di atas lantai. Tangannya menggenggam tangan si suami. Kejap! “Abang, abang bukannya duduk di rumah buang masa. Abang melukis. Lagipun, abangkan pakai kerusi roda. Payah nak gerak…” pujuknya. Wajah si suami dipandang penuh kasih sayang. “Hani okey. Hana pun tak nakal. Driver baru pun okey…”
“Oh! Driver baru dah masuk kerja?”
Hani Mariya pantas mengangguk. Dalam hatinya terasa serba salah. Dia terlupa untuk memaklumkan suaminya pagi tadi. “Dah! Hari ini dia dah mula kerja. Nampaknya macam okey setakat ini…”
“Dia kacau isteri abang tak?”
Hani Mariya pantas menggeleng. “Tak! Dia anak saudara Pak Ni. Baik budaknya.”
“Hmm… Sayang nakal tak?”
Lembutnya suara Hans Muneef buat Hani Mariya cair. Itu adalah satu antara beribu-ribu alasan untuk Hani Mariya menyambut cinta lelaki itu. “Insya-ALLAH tak, abang.” Yakin jawabnya. Tiada! Tiada satu pun di dunia ini yang mampu mengubah cintanya pada Hans Muneef. Kacak dan romantik. Bertanggungjawab dan melindungi.
“Abang percaya isteri abang. Biarpun kita tak selalu bersama, kasih sayang yang abang bekalkan, abang harap cukup untuk buat peneman Hani ke mana jua…”
Hani Mariya menundukkan kepala lalu mengucup tangan suaminya. Wangi! “Cukup! Kasih sayang dan cinta abang cukup buat Hani dan Hana kat mana aje kami berada…”
“Alhamdulillah... Abang bahagia ada isteri macam Hani. Abang bertambah bahagia ada anak sebijak Hana. Sekolah Hana macam mana?”
Hani Mariya tertawa. Membayangkan kenakalan Hana Maisarah, suasana sekitar berubah ceria. “Hana komplen banyak homework…”
“Budak-budak memang macam tu. Abang temankan dia buat kerja sekolah, sayang pulak mandi, solat dan sediakan supper ya…”
Hani Mariya terangguk-angguk dengan senyuman. “Hmm… I love you, abang. Hani nak mandi sekarang…” Berlari dia masuk ke dalam bilik mandi demi mengejar masa. Bahagia dia mendapat suami yang sudi berkongsi tanggungjawab mendidik anak. Hans Muneef buat jiwanya bebas selalu.

MASUK sahaja dapur, Hani Mariya menyediakan minuman. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Sekejap lagi Hana Maisarah dan Hans Muneef akan menyertainya untuk supper sebelum mereka tidur.
Tiga buah mug diletakkan di atas meja. Kepingan biskut sekadar dibiarkan di dalam balang. Seteko Milo panas disediakan. Itu sudah cukup. Hans Muneef cukup suka supper bersama anak isterinya sebelum tidur. Waktu itulah mereka akan bergurau mesra dan saling bertukar maklumat bagi menghadapi hari seterusnya.
“Mummy! Kerja sekolah Hana dah siap…”
Hani Mariya tersenyum melihat Hana Maisarah yang cukup baik hati menolakkan kerusi roda daddynya. “Hana siapkan sendiri atau daddy yang tolong?” Sengaja diusik anak itu.
“Mummy, Hana buat sendirilah! Hana takut Cikgu Syarifah marah nanti…”
Hani Mariya menarikkan kerusi untuk anaknya duduk. Diperhatikan sahaja Hans Muneef mengambil tempat di kepala meja. Sejak Hans Muneef menggunakan kerusi roda kerana lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya, tiada sebarang kerusi yang diletakkan di situ.
“Sikitnya Hana makan. Sekeping biskut aje? Cukup?” soal Hani Mariya. Berkerut dahinya melihat Hana Maisarah yang cepat sahaja menghabiskan minuman di dalam mug.
“Cukup, mummy. Ayam KFC petang tadi buat perut Hana rasa penuh…”
Tersenyum Hani Mariya yang melihat kerenah anaknya yang macam-macam. Senyumannya lebih lebar melihat Hans Muneef mengesat bibir dengan sehelai tisu.
“Daddy nak Hana tidur awal malam ni…”
Hani Mariya yang turut mendengar arahan itu mengangkat kening. Itu isyarat untuk mummy Hana Maisarah sebenarnya.
“Kenapa?”  
Hani Mariya memandang pada Hana Maisarah. Dia segera memujuk anak mereka. “Hana, mummy dan daddy nak tidur awal. Mummy penat dan daddy pun letih…”
“Boleh Hana tengok TV sebelum tidur? Please…”
Hani Mariya memandang Hans Muneef. “Boleh!” Itu yang dijawabnya sebaik dia melihat suaminya memberi isyarat positif.
“Esok Hana nak dinner apa? Daddy masak untuk Hana dan mummy ya.”
Hani Mariya memandang pada anaknya. Hana Maisarah yang sudah bergaun tidur itu berkerut dahi untuk berfikir.
“Hana nak daddy masak lasagne, boleh?”
“Boleh! Nanti daddy letak cheese lebih macam yang Hana suka ya…”
“Hmm… Menjadilah Hana tu. Makan cheese banyak-banyak. Pipi tembam nanti, mummy tak tahu…” ejek Hani Mariya dengan ketawa. Ketawanya lebih besar bila dia melihat Hana Maisarah memuncungkan bibir. “Alahai… itu pun nak merajuk?”
“Mummy tu… suka kacau Hana. Pipi Hana tak tembamlah!”
Tertawa lagi Hani Mariya melihat reaksi anaknya yang kegeraman. “Mummy bukan apa… Bimbang nanti Hana menangis bila Haziq mengejek Hana…”
“Alah! Haziq tu memang suka mengusik Hana…”
“Kalau Haziq usik Hana, beritahu daddy. Biar daddy beritahu Pak Long Hafidz…”
Hani Mariya mengangguk mendengar kata Hans Muneef. Itu sahaja caranya untuk menakutkan Haziq yang memang nakal. Adukan sahaja kerenah nakalnya pada papanya. Takutlah dia. “Hana, Cikgu Syarifah ada pesan apa-apa tak untuk Hana bawa ke sekolah esok?”
“Hana kena bawa baju sukan, mummy. Ada senamrobik petang esok…”
“Okey! Nanti mummy masukkan dalam beg sekolah Hana,” jawab Hani Mariya tenang. “Esok mummy akan datang untuk tengok Hana buat senamrobik ya…”
“Yeah! Esok giliran Hana naik pentas untuk senamrobik dengan Cikgu Syarifah… Kawan-kawan Hana semua akan ikut apa yang Hana buat. Daddy tak nak datang tengok Hana ke?”
Hani Mariya membuat muka simpati. Dia tahu Hans Muneef ingin sangat pergi. Tapi itu tidak mungkin. Pergerakannya amat terbatas kini. “Sayang, berapa kali mummy dah pesan? Daddy takkan keluar rumah. Daddy kurang sihat. Daddy sibuk melukis, memasak… Kan daddy dah take charge untuk jaga rumah kita…”
“Oh! Maafkan Hana, daddy. Hana tak sengaja…”
Hani Mariya memandang wajah anak yang bimbang daddynya berkecil hati. Baru lima tahun dah pandai menjaga hati orang tua. Bagi Hani Mariya, anaknya memang bijak. Dia sudah pandai membaca dan mengira pada umur tiga tahun. Sebab itu dia diterima masuk ke Sekolah Rendah Seri Mutiara biarpun umurnya belum masuk enam tahun. “Dah! Kita tidur ya…”
“Baik, mummy…”
Hani Mariya menolak kerusi roda suaminya ke bilik Hana Maisarah. Sudah menjadi rutin untuk mereka suami isteri menidurkan si anak bersama-sama. Selalunya, Hans Muneef akan membacakan buku cerita. Hani Mariya pula akan memeluk anak mereka hingga tertidur. Namun malam ini, Hana Maisarah mahu menonton TV. Maka, Hani Mariya menghidupkan TV dan mengsetkan mod ‘off’ dalam tempoh 30 minit.
“Mummy, kenapa orang dalam TV tak tidur lagi? Mereka bercakap 24 jam. Mereka bekerja 24 jam. Tak penat ke?”
Tertawa Hani Mariya dengan soalan Hana Maisarah. Anak ini memang tak betah duduk diam biarpun sudah berselimut di atas katil. Ada-ada sahaja hal yang menarik perhatiannya. “Mereka tidur, sayang. Itu semua hanya lakonan. Apa yang mereka buat sudah dirakam awal-awal…” jawab si ibu.
“Kenapa Hana tanya?”
Hani Mariya memandang sekilas pada Hans Muneef yang sibuk menyusunkan anak-anak patung seperti yang Hana Maisarah suka. Sambil itu, dia mengambil masa mengemaskan beg sekolah si anak untuk sesi esok hari.
“Hana nak jadi pelakon…”
Terjungkit kening Hani Mariya. Ini cita-cita Hana Maisarah yang terkini. Sudah beratus kali dia menukar cita-citanya. “Kenapa?”
“Sebab Hana nak mummy dan daddy tengok Hana ketawa dalam TV walaupun Hana dah tidur masa tu…”
Tertawa Hani Mariya.

SUASANA bilik tidur Hani Mariya sudah suram. Hanya cahaya dari lampu bilik tidur yang dihidupkan.
“Abang…” panggil Hani Mariya yang sudah selesa berada dalam di pelukan Hans Muneef.
“Hmm…”
Mendongak kepala si isteri untuk memandang wajah suaminya. Suara Hans Muneef yang cukup perlahan buat dia mahu memastikan samada suaminya sudah tidur atau belum. “Hani nak beritahu sesuatu…”
“Apa dia, sayang?”
“Err… Hani dah melukis semula hari ni.”
“Apa?!”
“Hani kata Hani dah melukis semula…” Satu-satu Hani Mariya mengucapkannya.
“Betul?!”
Hani Mariya mengangguk. “Banyak idea datang tanpa Hani jangka. The ideas made my hand moves. Unstoppable…” Lirih suaranya, namun ringan bahunya bagai baru terlepas daripada bebanan yang amat berat.
“Alhamdulillah... Abang bersyukur sangat, sayang.”
Air mata Hani Mariya menitis lalu jatuh ke pipi. Lega dia kerana suaminya tenang dan gembira menerima berita itu. “Betul abang okey?”
“Betul, sayang. Ini berita paling bahagia yang abang dengar sejak berita sayang mengandungkan Hana enam tahun lalu…”
Gembira dia dengan pengakuan suaminya. Terasa ubun-ubunnya dikucup perlahan. “Huh! Lamanya… Abang tak bahagia ya hidup dengan Hani?” Sengaja pula dia pura-pura tunjuk rajuk.
“Eh! Kenapa cakap macam tu?”
Dalam suramnya suasana, Hani Mariya tertawa kecil. “Yalah! Enam tahun sekali baru dengar satu berita bahagia…”
“Sayang! Suka betul putar belitkan cakap abang ya…”
Hani Mariya terasa pelukan Hans Muneef yang makin mengejap. Dalam diam, dia tersenyum bahagia.
“Apa perasaan sayang bila dapat pegang berus lukisan semula?”
“Bahagia sangat…” Si isteri mula meniarap untuk melihat wajah suaminya. “Macam baru dapat cinta.”
“Hmm… Ada apa-apa ke yang sayang nak share dengan abang?”
“Hazry…” Itu pula yang terletus di bibir Hani Mariya tanpa sengaja. Serta merta air mukanya berubah. Tak sanggup untuk dia melihat perubahan pada wajah Hans Muneef. Lelaki itu pasti cemburu.
“Siapa Hazry?”
“Nama driver Hani yang baru tu… Hazry…”
“Hmm… Apa kaitan Hazry dengan lukisan sayang?”
He can read our paintings, abang. Dia boleh tafsirkan lukisan kita. Dia macam boleh rasa perasaan kita masa kita melukis lukisan tu.”
“Hebat! Patut tak abang jealous?
Hani Mariya pantas menggeleng. “Tak perlu, abang. Dia lelaki biasa-biasa aje…”
“Tapi, dia ada kelebihan yang unik. Jarang kita jumpa orang macam tu.”
“Entahlah! Tak mustahil dia serkap jarang aje sebenarnya…”
“Abang tak nak isteri abang buruk sangka pada orang…”
Hani Mariya tertawa. Baiknya Hans Muneef. Dalam keadaan yang serba kekurangan, sanggup dia menyembunyikan rasa cemburu. Malah diingatkan pula isterinya untuk berbaik sangka selalu. “Case closed! Abang jangan bimbang. Dia lelaki biasa-biasa aje. Hani tahu hukum hakam. Haram bagi isteri menduakan suaminya…”
Masa berjeda seketika. Hani Mariya diam.
“Hani… Kenapa Hani masih sanggup hidup dengan abang? Hani masih muda…”
Syahdu hati Hani Mariya dengan soalan Hans Muneef. Pantas dia bingkas duduk. “Cinta… Dalam hati ini…” Dadanya ditepuk perlahan. “Getarannya meratibkan nama abang. Tak pernah berhenti.”
“You are my girl…”
Hani Mariya terus sahaja memeluk suaminya erat-erat. Malam ini, dia mahu tidur di atas dada bidang suaminya. Biar mimpinya dan mimpi Hans Muneef bersatu lalu kelibat Hazry yang entah kenapa kerap muncul di dalam fikirannya dapat dipadamkan serta merta.
‘Beep! Beep! Beep!’

Naskhah SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada Ogos 2014.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)