Di dalam kawasan rumah setinggan tempat di mana Hazry menyewa, suasana sudah sunyi sepi. Hanya sesekali kenderaan lalu lalang membawa sorotan cahaya pada jalan yang tidak berlampu.
“Hazry, apa lagi yang kau tengok tu? Pukul 11.00 dah ni. Kau tak nak tidur lagi ke?” tegur Halim. Risau dia tengok keadaan Hazry. Baru hari pertama bekerja, sudah terpaksa memandu hingga ke Bagan Lalang. Jauh tu.
Hazry menggeleng. Dia mengelap badan motosikalnya yang memang kilat sentiasa. Sudah 10 tahun motor itu berkhidmat dengannya. “Saja membelek motor ni…”
“Belek motor ke belek hati?” usik Halim.
“Hati apanya?” soal Hazry tidak faham.
“Anak bos kaulah… Cantik giler. Memang kebaboom!” usik Halim. Sengaja. Bukannya dia pernah melihat Hani Mariya, cuma mendengar pujian sebaris daripada bibir berkumis Hazry.
“Banyaklah kau! Itu kebaboom… Ini kebaboom… Macam budak-budak…” Naik rimas Hazry dengan perkataan favourite si Halim. “Bos aku tu bini orang… Dibuatnya laki dia dengar, teruk aku kena belasah…” Menyesal dia memuji Hani Mariya. Lurus sangat dia ketika menjawab soalan perangkap dari Halim petang tadi.
 Sorrylah… aku usik aje!” Halim mengalah. Seriusnya suara Hazry buat dia terasa dia patut tutup mulut, tapi sempat juga dia mengusik. “Sengaja bagi tekanan kat kau untuk cari mak we…”
“Hai! Mak welah sangat. Aku ni ibarat ABC spesial, Lim…” sahut Hazry.
Halim tergelak. “Apa hal kau kaitkan diri kau dengan ABC spesial ni?”
“Aku ni ais kisar putih yang orang curah sirap, susu dan air gula Melaka. Tapi, dapat pulak bercampur dengan ais krim yang orang selalu top up kat atas ABC tu. Nampak macam spesial, tapi, tanpa ais krim tu aku ABC biasa-biasa aje…” Merendah diri sahaja suara Hazry. Memang benar, dia orang biasa yang berpeluang untuk bercampur gaul dengan keluarga luar biasa seperti keluarga Haji Umar.
“Hisy! Syahdu sungguh…” sampuk Halim. Bahu Hazry ditepuk-tepuknya. “Kau jangan lupa, Hazry. Kat dasar mangkuk ABC tu selalu ada macam-macam. Kacang, buah pala, cendol, cincau, biji sagu, laici dan entah apa-apa lagi…” Sengaja dia mengingatkan. Dia tidak mahu Hazry terlalu merendah diri. “ABC tanpa ais krim tak jadi ABC spesial. Ais krim tanpa ABC pun orang panggil ais krim aje, bukan ABC spesial…”
“Betullah kau cakap tu, Lim…” jawab Hazry setelah berjeda lama. Tak rugi dia tinggal serumah dengan Halim yang suka membantu dan tidak kedekut berkongsi pengalaman. “Tepat fakta kau tu, aku tak nafikan…”
“Jadi, jangan lupa esok,” sahut Halim selamba.
Hazry mengerutkan dahi. “Lupa apa?”
“Cari mak we…” sambung Halim.
Hazry ketawa. Mak we? Hmm… macam tak mampu. Perempuan sekarang mahal…
 
HARI kedua bekerja, Hazry bertambah sesak dada. Hani Mariya bagaikan melancarkan perang bisu. Dia masih tidak dapat menduga apa puncanya. Jika apa yang berlaku semalam menjadi penyebab, baginya isu itu terlalu kecil. Entahlah! Mungkin besar bagi Hani Mariya. Akhirnya Hazry biarkan sahaja. Biarpun puting beliung di dalam jiwa, wajahnya tetap ditenangkan. 
Tepat jam 4.30 petang, Hazry sudah memaksa diri untuk cuba bersantai di tempat duduk paling atas di Dewan Tertutup Sekolah Rendah Seri Mutiara. Diperhatikan sahaja gelagat Hani Mariya dari jauh. Wanita itu duduk berdekatan dengan beberapa orang ibu bapa untuk menyaksikan anak masing-masing membuat senamrobik. Suasana yang sedikit panas buat dia berkipas dengan kipas berlipat yang cantik berukir.
Dan bila muzik dimainkan, Hani Mariya bertepuk tangan. Tidak pernah berhenti memberi sokongan kepada anak-anak kelas 1 Mawar yang ada. Wajahnya riang. Sama sekali tidak sama dengan si driver yang rasa terdera.
“Tak apalah, bos. Bos buatlah apa yang bos suka. Janji bos bahagia…” ucap Hazry perlahan. Setakat waktu itu, tiada apa yang mampu dibuatnya.
 
JASNI, pembantu am di galeri Hani Mariya tersenyum melihat gelagat Jehan dua tiga hari ini. Sejak pemandu baharu bernama Hazry masuk kerja, Jehan banyak mencuri masa untuk mencuci mata. Wanita itu berdiri di hujung galeri lalu memandang ke arah Hazry yang tegap berdiri sambil memegangkan payung buat Hani Mariya di patio. “Awak ni dah kenapa, Jehan?”
Jehan mengerutkan dahi pura-pura tidak faham. Malah, anak matanya segera memandang ke arah yang lain. Tidak mahu tertangkap. “Kenapa apa? Saya tak ada buat apa-apalah…” Tangannya pula segera buat-buat sibuk membersihkan lukisan di depan mata.
“Cakap ajelah! Mr. driver baru tu handsome…”
“Biasa ajelah…” nafi Jehan.
“Biasa sangat ya,” sahut Jasni bersahaja. “Sampai awak cuci mata awak yang besar tu berulang-ulang kali walaupun saya tak nampak ada habuk pun dalam mata awak…”
“Saya macam pernah nampak dialah…” kata Jehan perlahan. “Tapi, tak ingat kat mana.”
“Alasan yang macam murah, Jehan,” balas Jasni seperti mengejek. “Kalau awak suka, cakap aje. Saya bukan nak komen apa pun. Itukan hak awak. Awak punya mata…”
Jehan sempat menjeling sebelum berlalu pergi. Sakit hatinya diusik si Jasni. Walaupun memang sejak dulu Jasni suka mengusik, namun dia tak ambil peduli. Kini? Jehan pelik pada dirinya sendiri. Dia sudah pandai sakit hati.
Namun, Jasni memang mamat poyo. Dia menurut sahaja arah langkah si PA bos. “Jehan, kalau awak suka, jangan skodeng dari jauh aje…”
“Apa hal awak ni?!” sergah Jehan. Marah dia dengan perangai Jasni yang makin menjadi-jadi. “Nak jolok sarang tebuan?”
Jasni hanya menyengih. Tak tahu takut dia. “Awak ada dua pilihan. Diam atau luahkan…” katanya lantas berjalan keluar ke patio. Gilirannya memegangkan payung buat Hani Mariya sudah sampai. Sempat juga langkah tegap Hazry yang berlalu pergi diperhatikannya. ‘Alahai, Hazry! Sejak kau datang, aku ni, terus Jehan ketepikan… tak dapat peluang langsung!’ Dalam diam hatinya merungut.
 
LEWAT malam itu, Halim mengetuk pintu bilik Hazry. “Hazry, kau ada jarum dengan benang tak?” soalnya sedikit menjerit.
Pintu bilik dibuka dari dalam. Muncul Hazry yang masih berkain pelikat dan baju Melayu serta bersongkok hitam. “Ada… Kau nak jahit apa?”
“Hujung kaki seluar kerja aku ni koyaklah. Nak kena jahit pulak…” kata Halim. Seluar hitam di tangan kanannya ditunjukkan.
“Kau pandai menjahit tak?”
Halim menyengih. “Err… tak. Tapi, aku kena cuba jugaklah. Tak sempat nak hantar kedai.”
“Biar aku buatkan. Kau letak seluar tu kat sofa,” arah Hazry. “Bagi aku habiskan kerja aku sekejap.” Dia sedang membaca tafsir al-Quran.
Halim mengangguk. Dia terus sahaja meletakkan seluar itu di atas sofa. Segera dia ke dapur untuk menyediakan air. ‘Upah untuk Hazry yang baik hati…’ kata hatinya.
 
KAU pandai menjahit ke, Hazry?” soal Halim. Bulat mata dia melihat kotak peralatan jahitan Hazry. ‘Macam perempuan…’
“Kotak ini arwah ibu aku punya…” jawab Hazry.
“Ooh… Ibu kau ajar kau menjahit?” soal Halim.
Hazry mengangguk. “Jahit butang, lipatan kain atau kain koyak macam ni bolehlah. Tapi, menjahit guna mesin tu aku tak pandai…” Dia sudah membelek bahagian seluar Halim yang perlu dijahitnya.
“Peliknya kau ni…”
Hazry ketawa. Tangannya pantas memasukkan seutas benang hitam ke dalam lubang jarum. “Aku ni anak orang susah, Lim. Aku jugak anak tunggal. Ibu aku ajar ni semua supaya aku tak susahkan orang lain,” katanya.
Terangguk-angguk Halim. “Betullah pendapat arwah ibu kau tu. Macam aku sekarang ni dah susahkan kau nampaknya…”
Hazry tertawa lagi. “Ke situ pulak yang kau fikir…” tegurnya.
“Betul apa yang aku cakap…” sahut Halim.
“Ibu aku cukup bimbang, kalau dia meninggal dulu dan aku tak ada siapa nak bela…” sambung Hazry. Dia sudah mula mencucuk jarum ke seluar Halim.
“Ibu kau meninggal sakit apa?” soal Halim.
“Sakit jantung. Arwah meninggal di IJN,” jawab Hazry. “Selepas dua minggu buat pembedahan.”
“Ayah kau?” soal Halim lagi.
“Sebenarnya ayah aku pun ada sakit jantung. Dan dia meninggal tiga hari lebih awal. Tapi, bukan kerana sakit. Arwah jadi mangsa langgar lari, Lim,” beritahu Hazry lagi. “Masa tu, arwah nak ke masjid untuk solat subuh.”
Halim terdiam. Dia yang masih berayah dan beribu itu merasa sangat beruntung tiba-tiba. “Polis tak dapat kesan siapa yang langgar ke?”
Hazry menggeleng. “Tak ada saksi.”
“Sabarlah, Hazry,” pujuk Halim.
“Ada dua benda yang jadi kesayangan aku. Motosikal arwah ayah aku dan kotak jahitan arwah ibu aku ni.”
Halim tersenyum juga. Dijengahnya kotak alatan jahitan itu. Ada banyak buku benang yang bermacam-macam warna. Ada macam-macam benda juga yang dia tidak tahu apa namanya. “Arwah ibu kau tukang jahit ke?” soalnya.
“Dulu arwah ada ambik upah jahit sikit-sikit…”
Halim mula mengorek-ngorek kotak jahitan dari anyaman mengkuang itu. “Eh! Ini tangkal kau ke? Kenapa tak pakai?” soalnya. Satu paket plastik kecil diunjukkan pada Hazry.
Hazry mengambil paket itu. Dibeleknya dengan wajah yang serius. Di dalamnya terdapat seutas rantai leher yang diperbuat daripada kulit. Tergantung loket silver berbentuk hati dengan engrave ‘Far or near… Our loves will last forever - Jayhanz’. Dari serius, wajahnya bertukar muram. Perlahan dia menggeleng. “Ini bukan aku punya. Bukan juga ibu atau ayah aku punya. Tapi, ini adalah antara barang yang pihak hospital kembalikan bersama barang peribadi arwah ayah aku yang lain…” Diletakkan semula paket tersebut ke dalam kotak alatan jahitan itu.
Halim mengerutkan dahi. “Ayah kau belikan untuk kau kot…”
Hazry menggeleng. “Tak mungkin! Tak mungkin ayah aku nak suruh aku pakai rantai. Itu pantang tok nenek aku. Bela rambut panjang pun dia tak benarkan…”
“Kau masih marah pada orang yang langgar ayah kau tu?” soal Halim serius.
“Marah…” jawab Hazry perlahan. “Dah lebih dua tahun kemalangan tu berlaku. Aku dah maafkan. Tapi, setiap kali aku terfikir hal itu, aku mengaku, hati aku masih marah…” Berjeda seketika dia. “Entahlah… Mungkin aku belum ikhlas maafkan dia pun.”
“Sabarlah, Hazry. Semoga ALLAH bantu kau untuk tenangkan hati…” pujuk Halim. Dia rasa bersalah pula kerana bertanyakan soalan itu pada Hazry. Tidak disangka yang Hazry masih menyimpan rasa tidak puas hatinya. Maklumlah, selama ini, Hazry yang dia kenal seorang yang cukup tenang dan cukup mudah memaafkan orang sekeliling.
“Amin…” jawab Hazry pantas. “Terima kasih, Lim, sebab kau doakan aku...”
Halim membalas senyuman itu. Sempat juga dia membelek jahitan yang Hazry telah siapkan. Memang hasilnya menakjubkan. ‘Tak sangka… Kebaboom!’

Novel SORRY, AKU BUKAN DIA! berada di pasaran pada Ogos 2014.

Saat Pena di Genggaman...
Iza Safiya

Comments (0)